BERSAMA artis baru Nico G, Joe Lil G (dua dari kanan).
BERSAMA artis baru Nico G, Joe Lil G (dua dari kanan).
Syanty Octavia Amry


Tempoh 25 tahun bukanlah waktu yang singkat sebaliknya pelbagai dugaan dan rintangan dilalui kumpulan rap yang kini menggelar diri mereka sebagai Nico G.

Meraikan 25 tahun penubuhan kumpulan itu baru-baru ini, Nico G yang dulunya dikenali dengan nama Nico masih dianggotai Affa, 41; Nico, 45; dan Dino, 42.

Mereka yang popular dengan lagu Inilah Nasibku pada awal 1990-an mahu terus kekal mewarnai industri muzik tanah air.

Bagi mereka, usia bukanlah halangan untuk terus aktif menyanyi selagi masih diperlukan peminat.

“Mungkin ada yang tertanya-tanya dalam usia yang semakin meningkat, masih mampukah kami untuk menari dan bergerak aktif di pentas.

“Memang kami perlukan lebih tenaga dalam merangka pelbagai promosi dan aktiviti sempena 25 tahun penubuhan kumpulan ini.

“Mungkin kami tidak ada masa untuk bersenam, namun apa kami rasakan adalah rasa semangat itu yang membuatkan kami terus bertenaga,” kata Affa.

Menurut Dino, banyak aktiviti sudah diatur bagi mengembalikan semula muzik Nico G.

“Kami gembira apabila turut mendapat sokongan daripada teman-teman. Selain itu, kami juga turut tampil dengan single baru berkonsep ketuhanan berjudul Dunia Alam Fana,” katanya.

Berkongsi mengenai single Dunia Alam Fana, Affa berkata, lagu itu adalah percubaan pertama mereka sesuai dengan peredaran masa.

Menerusi lagu berkenaan, mereka turut menampilkan artis pertama Nico G iaitu Joe Lil G.

“Kami mengambil masa berbulan untuk merangka pelbagai promosi dan aktiviti sempena 25 tahun penubuhan kumpulan ini.

“Oleh itu, kami sudah merancang pelbagai aktiviti di samping jualan barangan jenama Nico G. Syukur walaupun masih baru bermula banyak barangan kami yang sudah habis terjual,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 5:36 AM