AZLIN (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin


Subang Jaya: Polis menahan enam mahasiswa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) termasuk tiga warga asing dan merampas ganja bernilai RM20,000 dalam serbuan di pangsapuri di USJ 1, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, kesemua suspek lelaki berusia 20 hingga 22 tahun terbabit ditahan menerusi dua serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di lokasi terbabit bermula 10 malam.

Katanya, dalam serbuan pertama pihaknya menahan dua lelaki termasuk seorang warga Sri Lanka di lobi pangsapuri terbabit.

"Dua suspek terbabit didapati membawa beg galas. Pemeriksaan terhadap beg galas dibawa suspek warga tempatan menemui tiga kilogram ketulan mampat disyaki ganja, manakala di dalam beg lelaki Sri Lanka pula menemui tujuh kilogram dadah yang sama.

"Susulan penahan suspek polis menyerbu kediaman mereka di tingkat 11 pangsapuri terbabit dan menahan empat lagi rakan mereka membabitkan termasuk seorang warga Sri Lanka serta seorang warga Sudan.

"Pemeriksaan dilakukan menemui 90 gram ganja di dalam satu bekas di atas meja ruang tamu kediaman terbabit.

“Kesemua suspek ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 39A (2) akta sama," katanya pada sidang media di IPD Subang Jaya, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 5:58 PM