Laporan Harian Metro sebelum ini.
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Reman terhadap pembantu warden madrasah tahfiz dilanjutkan tujuh hari bermula Khamis lalu hingga Rabu depan bagi membantu siasatan kes pukul murid berusia 11 tahun, Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tempoh seminggu itu untuk kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Suspek direman semula selama tujuh bermula 27 April hingga 3 Mei ini (Rabu) bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mahkamah Majistret Kota Tinggi pada 23 April lalu membenarkan permohonan reman selama empat hari terhadap suspek berusia 29 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2010.

Mahkamah Seksyen Kota Tinggi kemudian membenarkan tempoh reman dilanjutkan selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

Sebelum ini kes Mohamad Thaqif yang disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2010, diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ia berikutan kematian pelajar berusia 11 tahun itu ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Kota Tinggi, Johor pada jam 2.05 petang, Rabu lalu.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, menerusi akaun Twitternya dan turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Katanya, siasatan kes itu akan dilengkapkan segera dan pihaknya kini sedang menunggu laporan penuh perubatan mangsa.

Suspek ditahan di rumahnya di FELDA Lok Heng Barat, dekat sini jam 4 petang, Sabtu lalu selepas ibu Mohamad Thaqif membuat laporan polis.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan dipukul dengan paip getah hingga menyebabkan kecederaan pada kakinya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 12:41 AM