NAZIR (kiri) dan Tengku Zafrul pada Mesyuarat Agung Tahunan CIMB ke-60, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB), berhasrat untuk mencapai prestasi pencapaian dan perolehan yang lebih cemerlang bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 dengan jangkaan momentum berterusan dari suku keempat tahun lalu.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya berharap CIMB mampu mencapai prestasi seperti yang diraih pada tahun kewangan 2016.

Beliau berkata, sebagai pemain industri perbankan, pihaknya optimis dengan prospek pertumbuhan ekonomi dunia pada tahun ini yang semakin bertambah baik.

“Selaras dengan jangkaan perkembangan ekonomi global yang dilihat memberikan gambaran positif, kami yakin ia membantu prestasi CIMB berdasarkan langkah strategik yang dilakukan oleh syarikat.

“Syarikat akan terus menumpukan kepada teras utama dalam membangun dan menyediakan perkhidmatan terbaik bagi memacu pertumbuhan seperti yang disasarkan,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, CIMB Group mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM4.88 bilion, lebih tinggi berbanding RM3.91 bilion pada tahun sebelumnya.

Peningkatan keuntungan itu dipacu pendapatan kumpulan yang mencatatkan rekod tertinggi kepada RM16.07 bilion bagi tahun dikaji berbanding RM15.4 bilion pada 2015.

Tengku Zafrul berkata, sentimen pelabur dan peniaga kembali meningkat tahun ini memberikan peluang kepada CIMB untuk menikmati pertumbuhan pada 2017.

“Kita mula melihat perkembangan sentimen ini semakin pulih sejak 2016 dan berharap ia akan terus berkekalan pada tahun ini, sekali gus memberikan suntikan ekonomi yang positif kepada syarikat,” katanya.

CIMB adalah peneraju kumpulan perbankan kelima terbesar di rantau ASEAN mengikut jumlah aset yang menawarkan perkhidmatan perbankan pengguna, komersial, pelaburan, Islamik dan pengurusan aset serta mempunyai jumlah pasaran modal bernilai RM40 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 3:18 AM