KELUARGA bahagia Che Ta dan Zain.
KELUARGA bahagia Che Ta dan Zain.
Oleh Norhayati Nordin


Sejak menjalin cinta, diikuti keputusan mahu bernikah dan kini tiba masa memper­kenalkan bayi sulung mereka Aaisyah Dhia Rana, populariti diraih pasangan pelakon Rozita Che Wan, 42, dan Zain Saidin, 31, tidak pernah surut.

Gerak-geri pasangan bahagia ini tetap menjadi perhatian ramai. Apatah lagi, Rozita yang mesra dengan panggilan Che Ta ketika dalam tempoh berpantang dilihat sudah ligat berjalan ke mana-mana.

Baru-baru ini mereka turut membawa Aaisyah yang kini berusia dua bulan bercuti ke London.

Che Ta yang ditemui pada majlis akikah dan kesyukuran di sebuah hotel di Petaling Jaya, malam kelmarin berkata, dia tidak kisah dengan apa saja tanggapan negatif dilemparkan kepadanya berhubung dakwaan ligat berjalan ketika masih dalam pantang.

Katanya, dia dan Zain terlebih dulu mendapatkan nasihat doktor yang merawatnya dan Che Ta disahkan sihat dan tiada masalah untuk pergi berjalan-jalan meskipun masih dalam tempoh berpantang ketika itu.

Che Ta berkata, dia terkejut dengan gosip baru-baru ini mengatakan dia dilihat berjalan-jalan di tengah panas di sebuah lokasi beli-belah terkenal di Johor Bahru dengan memakai skirt pendek.

"Memang saya dan Zain ada ke sana ketika saya masih dalam pantang. Kami tiba di sana kira-kira jam 5 petang dan bukannya tengah hari. Saya pula hanya memakai pakaian biasa dan berseluar panjang.

"Kami juga hanya sempat singgah membeli-belah di beberapa kedai saja, bukan­nya merayau ke semua kedai," katanya.

Meskipun kesal dengan gosip berbaur fitnah itu, Che Ta berkata, dia sudah lali berhadapan dengan apa saja kisah tidak benar mengaitkan dirinya yang tersebar dan sebagai selebriti dia akur de­ngan semua itu.

Che Ta cuti berlakon enam bulan

Bercerita mengenai percutian mereka ke London, Che Ta berkata, dia bersyukur dan tidak sangka Aaisyah tidak meragam dan mudah diuruskan. Malah, Aaisyah dikatakan menyukai cuaca sejuk.

"Dia tidak meragam langsung. Kalau terlalu letih pun terus tertidur.

"Apapun, tak dinafikan sejak Aaisyah lahir saya memang kurang rehat dan tidak cukup tidur. Apapun, itu perkara biasa jika baru mendapat bayi dan kami teruja menguruskan Aaisyah bersama-sama," katanya.

Menurut Che Ta, Zain se­orang suami dan bapa yang ringan tulang dan bertanggungjawab. Dia pasti akan bangun membantu Che Ta jika Aaisyah terjaga tengah malam.

Mengulas juga perjalanan karier seninya selepas melahirkan anak, Che Ta berkata, memandangkan sekarang Aaisyah masih kecil dan sangat memerlukan perhatian ibu, dia tidak bercadang menerima tawaran berlakon.

Selesa menjaga bayinya sendiri, Che Ta berkata, dia belum bersedia untuk berjauhan lama dengan Aaisyah kerana mahu berlakon.

Mengakui sangat berat hati meninggalkan anaknya kerana mahu keluar bekerja, Che Ta berkata, untuk tempoh enam bulan ini dia memang takkan berlakon langsung.

Cuma, Che Ta akan kembali terbabit untuk rakaman program bual bicara Primadona bersama Erra Fazira dan Raja Azura.

Zain tak selesa Aaisyah dibanding dengan bayi lain

Che Ta mungkin tidak kekok menguruskan anak kerana sudah ada pengalaman menerusi perkahwinan lalunya dengan dua orang cahaya mata, namun bagaimana pula dengan Zain?

Berkongsi pengalaman baru itu, Zain berkata, memiliki anak dan menjadi bapa adalah frasa indah dalam hidupnya. Dia kini sa­ngat seronok dan bahagia.

"Kehadiran Aaisyah menjadi pemangkin semangat kepada saya untuk gigih bekerja mencari rezeki buat keluarga. Saya juga makin matang dan menjadi lebih bertanggungjawab.

"Biarpun sekarang Che Ta tidak berlakon kerana memberi tumpuan pada pengurusan Aaisyah, tetapi saya bersyukur rezeki berlakon tak putus dan masih menerima tawaran.

"Tidak lama lagi, saya pun akan kembali ke set penggambaran musim baru drama Oh My English! (OME). Sekarang ini, dalam proses mempersiapkan diri untuk musim baru itu," katanya.

Dalam pada itu, mereka juga akan berangkat ke Makkah untuk mengerjakan umrah bulan depan.

Zain berkata, sebelum hamil Che Ta ada memasang niat mahu ke Makkah me­ngerjakan umrah apabila mereka dikurniakan anak.

Dia bersyukur kerana niat itu dimakbulkan Allah SWT.

Berbicara juga mengenai raut wajah anaknya yang comel menjadi perbandingan dengan bayi selebriti lain, Zain berkata, dia sebenarnya tidak selesa dengan situasi itu.

"Saya bersyukur dikurniakan anak perempuan yang comel bersama Che Ta kerana menganggap ia berkat doa masyarakat kepada kami. Jadi, tidak perlulah wujud perbandingan.

"Lagi pun, sebagai ibu bapa semestinya sesiapa saja akan terasa hati sekiranya anak mereka menjadi mangsa perbandingan. Bagi saya, semua bayi ada keistimewaan masing-masing.

Menyentuh soal harapannya terhadap Aaisyah apabila sudah dewasa, Zain berkata dia dan Che Ta hanya mampu berdoa Aaisyah menjadi anak yang baik.

Katanya, mereka gembira jika Aaisyah menjadi seorang ustazah.

Ditanya juga mengenai perancangan cahaya mata kedua, Zain berkata, dia berserah pada ketentuan takdur. Jika tahun depan dikurniakan rezeki anak lagi, mereka terima dengan hati terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 5:00 AM