SELESA melakukan aktiviti sukan digemari.
LUBANG kecil khas untuk penggunaan fon telinga atau stetoskop.
REKAAN praktikal untuk digayakan ke pelbagai acara.
SELESA melakukan aktiviti sukan digemari.
Hajahfarhana Tarmudi


Bersukan memang satu aktiviti menyeronokkan jika dilengkapi padanan kasut, pakaian dan hijab yang selesa serta memuaskan hati.

Namun, bukan mudah untuk mendapatkan hijab yang memenuhi kriteria selesa dan praktikal untuk digayakan ketika bersukan.

Kini, koleksi hijab Ieha Arshad iaitu Ieha Energy, antara pilihan menarik yang boleh dicuba bagi peminat aktiviti sukan.

Oleh itu, tidak ada lagi alasan untuk wanita bertudung aktif bersukan atau melakukan apa saja aktiviti lasak digemari risau memikirkan faktor keselesaan dan kesopanan.

Menurut pengasas dan Pengarah Ieha Arshad Enterprise Zalihar Arshad, koleksi berkenaan ialah rekaan ketiganya yang memberi fokus kepada remaja hingga golongan profesional.

“Fokus utama kami adalah untuk remaja perempuan yang mengalami dilema apabila melakukan riadah seperti sukan. Tentunya ramai wanita mahukan hijab yang benar-benar selesa dan tidak mengganggu fokus setiap kali melakukan aktiviti seperti joging.

“Saya sendiri mendapat inspirasi daripada beberapa aktiviti maraton yang pernah disertai tidak lama dulu. Ternyata banyak aspek yang boleh mempengaruhi keselesaan Muslimah apatah lagi jika aktiviti itu memerlukan pergerakan pantas.

“Rekaan ini saya tampilkan bagi memenuhi kriteria dan keselesaan yang diidamkan. Bagaimanapun, saya tidak membataskan rekaan ini kepada wanita yang mahu bersukan saja.

“Koleksi ini juga boleh dipakai wanita berkerjaya profesional kerana cirinya yang fleksibel menjadikan penggayaannya lebih meluas untuk ke tempat kerja mahupun acara tertentu,” katanya.

Dilancarkan pada Minggu Fesyen Islamik Asia yang lalu, jenama berkenaan bekerjasama dengan Nur Aini Sirojudin untuk koleksi terbarunya itu selain menampilkan ikon Muslimah, Da’i Hamidah.

Menerusi koleksinya itu, terdapat tiga rekaan hijab berbeza yang menjadi pilihan Muslimah masa kini seperti Dash, Eccentric dan Unity. Keselesaan utama koleksi hijab itu terletak pada material yang digunakan iaitu fabrik moss crepe yang mudah kering.

Pada masa sama, fabrik berkenaan juga tidak menyerap bau peluh dan memberikan rasa lebih sejuk selain cara pemakaiannya yang mudah.

Malah, saiz rekaannya juga labuh dan menutup dada menunjukkan konsep Muslimah sentiasa dititiberatkan dalam setiap koleksi ditampilkan.

Dua daripada rekaannya iaitu Eccentric dan Unity memiliki lubang kecil khas bagi kegunaan alat peranti dengar, fon telinga mahupun stetoskop.

Terdapat dalam dua pilihan iaitu saiz M dan L dengan 11 warna menarik yang sesuai digayakan semua lapisan umur.

Bukan itu saja, koleksi pakaian riadah, Energy Volt turut diperkenalkan. Ia dilengkapi baju dan seluar menggunakan fabrik mikrofiber yang memiliki ciri ringan, sejuk dan mudah menyerap peluh sekali gus mengekalkan keselesaan si pemakai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 8:03 AM