LOKASI kejadian tiga mangsa lemas. FOTO ihsan bomba
Junaidi Ladjana dan Mohd Ruzaini Zulkepli


Beaufort: Tiga pelajar yang lemas ketika melalui jalan berair pada program Kem Kepimpinan di sebuah resort, Membakut, di sini, dipercayai tersasar dari laluan sebenar sebelum masuk ke kawasan dalam berdekatan pembentung (culvert).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort Runzee Abd Thani berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, tiga mangsa bersama sembilan yang lain dalam satu kumpulan sedang melalui jalan berair di kawasan tepi anak sungai.

"Ketika melalui laluan berair pada paras paha, tiga pelajar dipercayai tersasar daripada laluan sebenar dan termasuk ke dalam kawasan berdekatan culvert.

ANGGOTA bomba mengambil keterangan daripada salah seorang guru. FOTO ihsan bomba

"Paras air di kawasan itu agak dalam menyebabkan tiga mangsa lemas dan beberapa rakan mangsa yang cuba membantu namun gagal," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa yang lemas berjaya ditemui sebelum dibawa ke Hospital Beaufort dan Klinik Membakut untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia.

"Kita masih menjalankan siasatan termasuk mengambil keterangan daripada guru-guru yang terbabit dalam program itu," katanya.

Sementara itu Runzee berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai program berkenaan dan menasihatkan supaya sebarang program sebegini perlu dimaklumkan untuk tujuan kesiapsagaan keselamatan.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, mangsa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan iaitu Hafiz Hamizan Abdul Rahman, 16, Daniel Norman Norisham, 16, dan Qhuzaimi Jakaran, 17, ditemui lemas di dalam kawasan resort berkenaan ketika menyertai program Kem Kepimpinan anjuran SMK Putatan.

Seramai 120 pelajar dan 30 guru mengikuti program berkenaan.

Pelajar dibahagi kepada 10 kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai 12 pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 2:55 PM