ANTARA pengunjung pusat hiburan yang diperiksa. FOTO Halim Salleh
Mohd Hasbi Sidek dan Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Lumpur: “Saya tak ambil apa-apa. Kawan letakkan sesuatu dalam minuman saya masa minum malam tadi (semalam),” dakwa seorang wanita yang ditahan di sebuah pusat hiburan di Jalan Doraisamy, di sini, selepas didapati positif dadah, malam kelmarin.

Malah, wanita berusia 24 tahun itu turut mengaku mempunyai seorang anak berusia dua tahun dan meninggalkan anaknya itu kepada ibunya untuk dijaga sementara dia berhibur di pusat hiburan berkenaan.

Ketua Penyelaras Operasi Banteras Aktiviti Haram (Op BAH), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Azman Mahmood berkata, wanita itu antara 17 yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi bermula jam 1 pagi semalam di pusat hiburan itu.

Katanya, dalam serbuan yang disertai pelbagai agensi itu, seramai 102 pengunjung disaring ujian air kencing yang mana 13 lelaki dan empat wanita didapati positif,” katanya.

Ketika disoal, wanita itu mendakwa dia tidak mengambil sebarang bahan terlarang dan mendakwa mungkin ada rakannya yang memasukkan dadah ke dalam minumannya sebelum dia ditahan.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 6:48 AM