KEADAAN Toyota Fortuner milik AKSEM Bukit Kayu Hitam yang remuk di bahagian hadapan setelah terbabit dalam kemalangan. FOTO Zuliaty Zulkifli
TEKSI yang remuk dalam kemalangan mengakibatkan pemandu serta dua penumpang maut. FOTO Zuliaty Zulkifli
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Tiga maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan teksi dan kenderaan utiliti sukan (SUV) milik Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Bukit Kayu Hitam di Kilometer 6.9 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran kawasan rehat CTC di sini, hari ini.

Mangsa yang maut adalah pemandu teksi dan dua penumpang manakala yang cedera membabitkan seorang lagi penumpang teksi itu dan anggota AKSEM yang memandu kenderaan jabatan itu.

Pemandu teksi yang maut dikenali sebagai A Krishnan, 64, manakala dua penumpang maut, S Krishnan, 56, dan S Ravi, 52.

Mangsa yang terselamat, Koperal Mohd Nazeri Jasin, 52, (anggota AKSEM) dan Mohd Naufal Faris Ravi Abdullah, 52, (penumpang teksi).

Jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu SUV dari arah Alor Setar hendak menghala ke arah Bukit Kayu Hitam dan sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba teksi dari arah bertentangan membelok ke kanan jalan untuk menghala ke kawasan rehat CTC.

Katanya, disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu AKSEM tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran.

"Akibat perlanggaran pemandu teksi dan bersama penumpang hadapan dan belakang meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang belakang serta anggota AKSEM cedera.

"Mangsa yang cedera dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Jitra manakala ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 7:54 PM