Penjaga Gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal menyelamatkan kubu daripada serangan pemain Terengganu. FOTO BERNAMA
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Kedah berdepan laluan sukar untuk melayakkan diri ke final apabila sekadar menang tipis 1-0 bertemu Terengganu pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darulaman, di sini, malam ini.

Terengganu yang hanya ketinggalan satu gol pasti tidak akan melepaskan peluang memburu kemenangan pada aksi separuh akhir kedua nanti apabila beraksi di halaman sendiri 13 Mei ini.

Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada penolong ketua jurulatih Kedah Mohd Nidzam Adzha Yusoff yang menggalas tugas buat kali pertama selepas ketiadaan Ketua Jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe yang berpindah ke Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila strategi diaturkannya berjaya menghasilkan kemenangan.

Malah percaturannya membawa masuk Muhammad Farhan Roslan pada separuh masa kedua perlawanan ternyata membuahkan hasil apabila pemain itu tidak mensia-siakan peluang menjaringkan gol kemenangan pada m-71 selepas menerima hantaran daripada Baddrol Bakhtiar.

Tuan rumah yang bermula garang menyerang ke kubu pelawat dan nyaris menghasilkan gol pertama pada minit kesembilan perlawanan namun tendangan Ken Ilso Larsen berjaya dihalang penjaga gol Terengganu Amierul Hakimi Awang.

Selang tiga minit kemudian Mohd Syazwan Zainon turut berpeluang menghasilkan gol apabila berjaya mempedayakan pertahanan lawan selepas menggelecek bola di dalam kotak penalti namun tendangan lemahnya berjaya ditangkap kemas Amierul Hakimi.

Bermula separuh masa kedua tuan rumah terus mengatur strategi memburu gol awal namun percubaan Liridon Krisniqi pada minit 50 gagal apabila tendangannya melambung tinggi.

Pertahanan kental tuan rumah menyebabkan Terengganu gagal membolosi gawang skuad Helang Merah menyebabkan serangan pelawat berjaya dipatahkan.

Gol kemenangan tuan rumah akhirnya muncul pada minit ke 71 selepas Muhammad Farhan berjaya mempedayakan penjaga gol pelawat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 11:10 PM