MALAYSIA tewas 1-6 kepada Australia pada hari kedua Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2017. FOTO Bernama
MALAYSIA tewas 1-6 kepada Australia pada hari kedua Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2017. FOTO Bernama
Azizan Hashim


Ipoh: Juara bertahan, Australia berpesta gol apabila membelasah tuan rumah Malaysia 6-1 dalam perlawanan keduanya pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-26 di Stadium Azlan Shah, di sini, malam tadi.

Walaupun pemain negara cuba memberi tentangan ternyata mereka bukan tandingan pasukan ranking kedua dunia itu yang mendahului 3-0 pada babak pertama.

Anak buah Stephen Van Huizen berjaya bertahan selama 11 minit sebelum Tom Graig merobek gawang dikawal S Kumar.

Juara sembilan kali itu kemudian menambah dua gol pada suku kedua melalui Trent Mitton pada m-23 dan 27.

Australia terus mengusai saingan dan segalanya kelihatan sukar buat Malaysia walaupun merapatkan jurang melalui penalti strok Faizal Saari pada m-42.

Manakala baki gol Australia dijaringkan oleh Graig dan Mitton.

Dengan kemenangan itu, juara sembilan kali itu melonjak ke tangga teratas walaupun terikat empat mata dengan Great Britain dan India.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, Great Britain menunjukkan kehebatannya dengan mencatat kejayaan 5-3 ke atas Jepun selepas mendahului 3-1 pada separuh pertama.

Anak buah Derek Forsyth yang terikat 2-2 dengan India pada perlawanan pertama, semalam mendahului 3-1 pada separuh pertama.

Barry Middleton membuka jaringan seawal minit ketiga diikuti jaringan David Goodfield sembilan minit kemudian.

Pasukan Blue Samurai merapatkan jurang pada m-14 melalui Kenta Tanaka tetapi seminit kemudian Sam Ward kembali melebarkan jurang.

Babak kedua menyaksikan penguasaan berterusan Great Britain yang menambah dua gol melalui Tom Carson dan Alan Forsyth manakala Jepun memperolehi jaringan melalui Tanaka dan Kota Watanabe.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 12:13 AM