Mohd Hafizee Mohd Arop dan Balqis Jazimah Zahari

[email protected]

Cameron Highlands: Budak perempuan berusia empat tahun maut manakala dua wanita parah selepas van merempuh beberapa gerai di tapak pasar malam Golden Hill, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, mangsa Adra Mustaffa Kamal,4, meninggal dunia selepas parah di kepala manakala dua lagi mangsa yang parah masing-masing patah kaki dan cedera di kepala.

Difahamkan, mangsa bersama ibu bapa serta dua adik beradiknya datang ke kawasan peranginan itu untuk bercuti dan ketika kejadian mangsa sedang memilih barang permainan di sebuah gerai di pasar malam berkenaan.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Deputi Superintendan Hasadid A Hamid berkata, siasatan awal mendapati pemandu van berkenaan seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga peniaga sedang memandu vannya untuk pulang sebelum dipercayai menekal pedal minyak dengan kuat bagi mengeluarkan bunyi supaya pelanggan memberikan laluan kepadanya.

Katanya, van berkenaan kemudiannya secara tiba-tiba bergerak laju ke hadapan dan merempuh gerai dan juga beberapa pengunjung pasar malam itu.

"Kanak-kanak berkenaan maut manakala dua lagi wanita parah dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk menerima rawatan selepas dipercayai patah kaki serta cedera di kepala.

"Mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Sutanah Hajjah Kalsom (HSHK) di sini untuk bedah siasat," katanya.

Hasadid berkata, laporan polis yang diterima daripada pemandu van berkenaan mendakwa seluruh badannya mengalami kekejangan dan tidak sedarkan diri buat seketika ketika kejadian.

Katanya, pemandu van berkenaan tidak mengalami kecederaan dan ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, polis juga sudah mengambil sampel air kencing dan darah pemandu berkenaan untuk dianalisis.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 10:01 AM
Digital NSTP Subscribe