Afiqah Zahra seri dengan lawan dari Mongolia, Tselmuun Dorjsuren di pusingan sembilan yang juga juara keseluruhan dalam kategori perempuan bawah 7 tahun.
Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Saya amat terharu dan berterima kasih atas sokongan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakannya.

"Saya juga mohon maaf kerana Afiqah gagal kali ini, hanya mendapat tempat ke-5. Sasaran saya sekurang-kurangnya Naib Johan."

Itu kata jurulatih catur Salihin Ahmad, 45, selepas anaknya, Afiqah Zahra, 7, mengakhiri Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 dikedudukan kelima selepas sembilan pusingan semalam.

Salihin ketika dihubungi Harian Metro malam tadi berkata, dia tetap berbangga dengan pencapaian Afiqah Zahra sepanjang kejohanan di Iasa, Romania itu.

"Permainan Afiqah agak kurang stabil. Namun ramai coach (jurulatih) dari Mongolia takut dengannya. Tadi (semalam) dia missed (terlepas) tiga gerakan kemenangan menyebabkan seri.

"Selepas ini bulan Julai akan ada kejohanan Asia di China. Afiqah dan kakaknya, Farah Liyana yang juga Women Candidate Master (WCM) akan ke sana jika ada peruntukkan. 

"Harapan selepas ini semoga berjaya mengalahkan semua pemain Mongolia yang menguasai kejohanan ini. Saat-saat akhir saya ajar pergerakan baru memang boleh menang tapi dia tak nampak," katanya.

Salihin yang juga guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, Klang berkata, sebelum memulakan saingan terakhir itu, Afiqah Zahra terpaksa dipujuk kerana terlalu gemuruh sehingga menangis.

"Sebelum permainan dia dah nervous (gemuruh), menangis dan takut. Begitu hebat tekanan yang Afiqah Zahra hadapi. Dipujuk sambil buat live dengan keluarga di Klang untuk sama-sama memberikan semangat padanya," katanya. 

Afiqah Zahra kelima terbaik daripada 28 peserta selepas mengumpul enam mata keseluruhan termasuk setengah mata di pusingan sembilan apabila seri dengan lawan dari Mongolia, Tselmuun Dorjsuren, yang juga juara keseluruhan dalam kategori perempuan bawah 7 tahun.

Harian Metro mengikuti perkembangan Afiqah Zahra dan kakak sulungnya, Nur Anisah, 17, dalam pertandingan itu selepas melaporkan mengenai Salihin yang sanggup menjual rumah keduanya di Segamat, Johor pada harga RM65,000 demi membawa anak-anaknya bertanding di Romania. 

Pengorbanan itu dilakukan selepas usaha mencari penajaan dan memohon sumbangan daripada pihak berkaitan tidak berhasil seterusnya hanya membawa Afiqah Zahra dan Nur Anisah sedangkan dua lagi anaknya turut layak ke kejohanan dunia itu iaitu Farah Liyana, 9, dan Allya Izzati, 10.

Sementara itu, Nur Anisah yang bertanding dalam kategori perempuan bawah 17 tahun berada di kedudukan ke-19 daripada 26 peserta selepas mengumpul empat mata keseluruhan. Saingan dimenangi peserta Ireland, Diana Mirza. 

Enam belas peserta menggalas cabaran negara dalam pertandingan yang disertai lebih 500 murid dan pelajar sekolah dari 41 negara.

Mereka bertanding dalam enam kategori iaitu perempuan B7 tahun, terbuka B9, perempuan B13, terbuka B13 tahun, terbuka B15, perempuan B17 dan terbuka B17 dan dijangka pulang hari ini. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 10:19 AM