SEGERA dapatkan rawatan sekiranya ia terlalu sakit.
SAKIT belakang perlu diberikan perhatian.
Siti Nadirah Hafidzin


Duduk tidak kena, berdiri dalam tempoh lama juga tidak selesa sehinggakan ketika waktu berbaring pun belakang badan terasa sakit.

Sakit keterlaluan yang menyebabkan rasa tidak selesa di bahagian belakang atau berhampiran pinggang pasti membantutkan aktiviti seharian seseorang apatah lagi jika darjah kesakitan semakin bertambah.

Ada di antara penghidapnya yang hanya berasa sakit biasa namun ada juga yang terpaksa mengambil ubat penahan sakit bagi mengatasi kesengsaraan ini.

Sakit belakang sebenarnya bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana boleh dikatakan hampir setiap individu mengalaminya tanpa mengenal faktor jantina mahupun usia.

Masalah ini juga antara yang paling kerap ‘menyerang’ manusia selepas selesema menyebabkan hampir tiada seorang pun terkecuali daripada merasainya.

Namun aktiviti berat yang banyak dilakukan lelaki mahupun wanita dewasa menyebabkan mereka dikatakan lebih kerap mengalami masalah sakit belakang.

Pakar perunding dan bedah ortopedik Dr Ishak Ahmad berkata, dari segi perubatan, sakit belakang bermaksud apabila seseorang berasa sakit atau tidak selesa pada bahagian bawah dada dan di sekitar bahagian pinggang.

Menurutnya, pada bahagian belakang tubuh manusia tulang terbahagi kepada tiga bahagian iaitu toraks, lumbar dan sakrum.

Pada bahagian lumbar ini terdapat lima tulang manakala antara tulang ini terdapat kusyen (diska) yang mempunyai fungsi antara tulang dan sendi.

“Masalah yang sering berlaku terletak pada kawasan lumbar dan sakrum. Urat dan otot bertugas menguatkan tulang bagi memastikannya berfungsi dengan baik,” katanya.

Dr Ishak berkata, setiap tulang belakang mempunyai empat sendi dan di tengahnya terdapat saraf besar.

“Saraf besar berfungsi membawa saraf kecil ke kaki, pada bahagian belakang tepi tulang belakang terdapat lubang untuk saraf kecil terus ke kaki.

“Dianggarkan 90 peratus sakit belakang berpunca daripada sakit urat dan otot ini,” ujarnya.

Punca paling kerap seseorang mengalami masalah sakit belakang ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu diska tergelincir atau diska prolaps.

“Keadaan ini mengakibatkan kusyen antara tulang terkeluar sedikit daripada tempatnya. Apabila terkeluar, ia akan menekan saraf. Saraf yang tertekan inilah menimbulkan rasa sakit dan kebas.

“Ia diumpamakan seperti sarung kusyen terkoyak dan menyebabkan isinya terkeluar dan keadaan ini berlaku dalam kalangan individu yang berusia antara 20 hingga 40 tahun,” katanya.

Antara punca kusyen terkoyak:

• Mengangkat barang terlalu berat.

• Pergerakan badan yang tidak sesuai dengan tulang belakang.

• Ada kalanya batuk atau bersin yang terlalu kuat juga boleh menyebabkan tekanan dalam perut meningkat justeru ia memberi tekanan pada kusyen.

Selain itu terdapat punca lain rasa sakit belakang, bagaimanapun ia dikatakan agak jarang berlaku seperti:

• Ketumbuhan

• Kecederaan seperti patah

• Penyakit ankylosing spondilitis yang mengakibatkan tulang belakang menjadi keras

• Jangkitan kuman seperti kuman batuk kering (tuberkulosis)

Tanda

• Rasa sakit belakang yang dialami oleh individu dalam usia pertengahan biasanya datang dengan tanda akut (secara tiba-tiba).

• Aktiviti seperti mengangkat barang yang terlalu berat ada kalanya menimbulkan rasa sakit serta-merta atau kecederaan pada otot atau urat.

Sebaliknya dalam kalangan mereka yang berumur, penyakit spondilosis (kehausan tulang) tidak berlaku secara tiba-tiba, ia biasanya terjadi dalam tempoh beberapa tahun.

Rawatan

• Fisioterapi

• Ubat-ubatan

• Pembedahan

Panduan menghindar sakit belakang

• Mengangkat barang

Bengkokkan kaki, bukan tulang belakang anda. Bawa beban rapat pada tubuh. Keraskan otot perut sewaktu mengangkat. Dapatkan bantuan orang lain sekiranya anda sukar untuk mengangkat berseorangan.

• Duduk

Rapatkan punggung dan sandarkan belakang pada penyandar tempat duduk sepenuhnya untuk mengurangkan tekanan pada cakera tulang belakang.

Pastikan ketinggian tempat duduk sesuai dan kedudukan paha selari dengan lantai. Campurkan aktiviti dengan senaman, regangan atau berjalan.

• Memandu

Duduk tegak dan gerakkan tempat duduk ke hadapan supaya lutut selaras dengan pinggang. Sokong bahagian bawah belakang menggunakan tuala yang digulung atau penyokong jika perlu.

• Tidur

Tidur di atas katil yang tidak terlalu lembut dan tidak terlalu keras. Apabila tidur mengiring, bengkokkan sedikit lutut supaya bersentuhan atau apabila tidur menelentang, letakkan bantal di bawah lutut.

• Berdiri dan Berjalan

Tukarlah posisi berdiri dengan kerap jika perlu berdiri lama.

Berdiri tegak dengan kepala lurus memandang ke hadapan dan luruskan belakang badan.

Berjalan dengan cara yang betul, dagu ke dalam, kepala tegak memandang ke hadapan dan jari-jari kaki mengarah ke hadapan. Pakailah kasut yang mempunyai tumit rendah dan selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 11:07 AM