MODEL menunjukkan Samsung Galaxy A5 dan Galaxy A3.
MODEL menunjukkan Samsung Galaxy A5 dan Galaxy A3.

Kuala Lumpur: Samsung Malaysia Electronics (Samsung) melancarkan telefon pintar Galaxy A3 dan A5 yang menggantikan Galaxy Alpha selepas syarikat berkenaan dikatakan tidak lagi meneruskan pengeluaran model itu pada tahun ini.

Model terbaru menerusi siri A itu menggunakan reka bentuk kerangka aluminium sama seperti Alpha.

Naib Presiden Mudah Alih, IT & Pengimejan Digitalnya, Lee Jui Siang berkata, pelancarannya selari dengan sasaran syarikat terhadap perkembangan trend sosial dalam kalangan pengguna muda.

“Apabila lebih ramai golongan muda menggunakan telefon pintar, keperluan sosial menjadi lebih penting dan ia memerlukan peranti sesuai,” katanya pada majlis pelancarannya, semalam.

Galaxy siri A akan memberi saingan sengit kepada telefon pintar dari China terutama dari aspek harga dan reka bentuk.

Model A5 dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 410 quad core berkelajuan 1.2GHz dengan RAM 2GB dan memori dalaman 16GB bersama skrin HD 720p Super AMOLED sebesar 5.0 inci.

Kedua-dua model ini dijual pada harga RM899 dan RM1,119.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pemasaran Produknya, Luke Au mengumumkan, pengguna telefon bimbit Samsung tulen boleh mendapatkan perkhidmatan baik pulih telefon mereka yang rosak akibat banjir di beberapa negeri, baru-baru ini dengan kadar berpatutan.

“Kami memahami ramai pengguna Samsung yang mahu membaik pulih peranti masing-masing yang rosak dan kami berbesar hati menawarkan potongan 50 peratus atas perkhidmatan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 5:44 AM