Lelaki maut selepas terjatuh dari motosikal ditunggangnya sebelum dilanggar MPV di Kilometer 21, Jalan Keramat Pulai berhampiran Pos Slim petang semalam.
Farah Suhaidah Othman

Ipoh: Lelaki maut selepas terjatuh dari motosikal ditunggangnya sebelum dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 21, di Jalan Keramat Pulai berhampiran Pos Slim di sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada 4.55 petang itu, mangsa, M S Yusri Saidin, 47 beralamat di Matang Gerdu, Bagan Serai yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z meninggal dunia di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Abdul Rani Alias berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Cameron Highlands menghala ke Simpang Pulai.

Katanya, motosikal ditunggangnya itu dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di satu selekoh di lokasi kejadian.

"Akibat kejadian itu mangsa terjatuh dari motosikal sebelum terseret ke laluan bertentangan.

"Sebuah MPV jenis Toyota Alphard yang datang dari laluan bertentangan iaitu dari Simpang Pulai menghala ke Cameron Highland tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa yang berada di laluannya," katanya ketika dihubungi.

Abdul Rani berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat manakala dua lelaki yang menaiki Alphard masing-masing berusia 30 dan 36 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 7:44 AM