Zlatan cedera ketika perlawanan Liga Europa. FOTO AFP
Reuters

Pittsburgh: Penyerang Manchester United Zlatan Ibrahimovic sudah menjalani pembedahan kecederaan lutut kanan dan akan pulih sepenuhnya, menurut ejennya Mino Raiola.

Penjaring utama United itu cedera ligamen lutut ketika menang 2-1 suku akhir Liga Europa ke atas Anderlecht bulan lalu dan disahkan tidak dapat beraksi sepanjang musim.

Kontrak pemain Sweden berusia 35 tahun itu berakhir pada hujung musim. Dia pergi ke Amerika Syarikat menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Pittsburgh dan dalam proses pemulihan semula.

"Zlatan Ibrahimovic melalui pembedahan lutut yang berjaya. Dia akan membuat pemulihan sepenuhnya dan tidak alami kecederaan penamat karier," kata Raiola dalam satu kenyataan, hari ini.

"Zlatan sudah memulakan pemulihan di UPMC dan berada di bawah kendalian Dr Fu dan Dr Musahl."

Ibrahimovic memberitahu di Instagram berjanji akan beraksi semula dengan lebih baik selepas ini.

United akan bertandang ke Sepanyol untuk berdepan Celta Vigo pada perlawanan pertama separuh akhir Liga Europa Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 3:25 PM