Agensi

London: Bekas penjaga gol Barcelona Victor Valdes (gambar) dilaporkan sudah menerima tawaran untuk menyertai Manchester United.

Penjaga gawang antarabangsa Sepanyol itu yang menjalankan latihan bersama United dalam usaha untuk kembali cergas daripada masalah kecederaan lutut, dipercayai bersetuju dengan kontrak selama 18 bulan yang dihulurkan Red Devils.

Valdes, 32, pernah menjulang enam gelaran La Liga dan tiga Liga Juara-Juara bersama Barcelona sebelum meninggalkan kelab itu hujung musim lalu apabila kontraknya tamat.

Perjanjian itu berkemungkinan besar menyaksikan penjaga gol simpanan Anders Lindegaard meninggalkan Old Trafford.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depan penjaga gol utama David De Gea yang cukup menyinar bersama United.

Kontrak De Gea bakal tamat pada 2016 walaupun pengurusan tertinggi kelab berkata mereka tidak bimbang dan yakin pemain itu akan melanjutkan kontraknya selepas ini.

Sebelum musim lalu bermula, Valdes sudah menyatakan hasratnya untuk berpindah tetapi kempennya terpaksa ditamatkan lebih awal gara-gara kecederaan lutut yang menyaksikan dia terlepas aksi Piala Dunia.

Manchester United menduduki tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, sembilan mata di belakang pendahulu, Chelsea serta Manchester City.

De Gea beraksi pada setiap perlawanan United musim ini tetapi dia terlepas empat gol ketika ditewaskan MK Dons pada saingan Piala Liga Ogos tahun lalu dan lima gol ketika tumbang kepada Leicester, 21 September lalu.

Begitupun, rekod itu semakin baik sejak beberapa bulan lalu dan dia hanya terlepas tujuh gol sepanjang 13 perlawanan terakhir.

Pemain antarabangsa Denmark Lindegaard, 30, tiba di Old Trafford pada Januari 2011 tetapi hanya tampil dalam 19 aksi Liga Perdana setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 6:07 AM
Digital NSTP Subscribe