Skip this ad x
Lukas (tiga dari kanan) ketika sidang media mengenai rampasan pelbagai jenis dadah di Pusat Media IPK Johor. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Polis Johor menahan tujuh individu termasuk seorang wanita warga Vietnam yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dalam tiga serbuan di Taman Pelangi Indah di sini, Jumaat lalu serta di Muar, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, Asisten Komisioner Lukas Aket berkata, dalam tiga serbuan itu, pihaknya merampas 5.4 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 2.8kg heroin, 406.9 gram syabu, 315.92 gram ketamin, 1,761 biji pil ekstasi, 1,057 biji pil kuda dan 271 biji pil erimin 5.

Beliau berkata, keseluruhan anggaran nilai harga pasaran dadah yang dirampas ialah RM490,000.

"Kita turut menyita tiga kenderaan, wang tunai RM10,850 dan SGD850 (RM2635.91) yang semuanya bernilai RM113,493.50.

"Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap semua suspek ini mendapati mereka positif methamphetamine dan AMP, manakala empat daripada mereka mempunyai rekod lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Menurut Lukas, kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan lima suspek lelaki serta seorang suspek wanita direman hingga Khamis ini, manakala seorang lagi suspek lelaki direman hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 4:26 PM