PEMAIN Australia, Eddie Ockenden (dua kanan) cuba melepasi penjaga gol India, Akash Chikte. FOTO Abdullah Yusof
PEMAIN Australia, Eddie Ockenden (dua kanan) cuba melepasi penjaga gol India, Akash Chikte. FOTO Abdullah Yusof
Azizan Hashim


Ipoh: Juara bertahan, Australia meneruskan rentak cemerlang pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-26 dengan menumpaskan naib juara, India 3-1 di Stadium Azlan Shah di sini, hari ini.

Kemenanan itu membolehkan Australia mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kejohanan enam pasukan itu selepas mengutip tujuh mata.

Begitupun pasukan ranking kedua dunia itu terpaksa mengerah segala kudrat sebelum dapat menjinakkan lawan yang bermain penuh semangat.

Malah anak buah Roelant Oltmans mengejutkan lawan apabila Harmanpreet Singh menjaringkan gol pembukaan buat pasukan India melalui gol padang pada minit ke-25.

Tersentak dengan jaringan itu, Australia melipat gandakan usaha memburu jaringan penyamaan dan akhirnya berjaya melalui Eddie Okenden di minit terakhir separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan penguasaan penuh Australia langsung tidak memberi sebarang ruang kepada India menambah jaringan.

Australia terus berada di hadapan melalui penjaring terbanyak pasukan itu, Tom Craig ketika empat minit saingan suku ketiga berlangsung dan kemudian membenam India melalui Tom Wickham pada m-51.

Sementara itu, Jepun tumpas tipis kepada ' Black Sticks ' New Zealand 3-2.

Blue Samurai mendahului melalui pemain terbaik perlawanan Shota Yamada pada minit kesembilan tetapi kelebihan itu dipadam Russel Kane sembilan minit kemudian.

Dua minit selepas separuh masa kedua bermula, Kane sekali lagi meletakkan New Zealand di hadapan apabila berjaya menyudahkan penalti strok yang dihadiahkan kepada pasukannya sebelum Lane Sam menjaringkan gol kemenangan buat New Zealand pada ke-35.

Yamada merapatkan jurang pada m-50 tetapi ternyata terlambat untuk menyelamatkan pasukan negeri matahari terbit itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 10:26 PM