AFENDI menunjukkan ikan tomanyang dipancing. Gambar kanan, peserta mula memancing dari jam 11 pagi hingga 5 pagi dan hanya berhenti untuk solat dan makan. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Hulu Terengganu: “Saya pernah memancing pelbagai jenis ikan di pelbagai lokasi sejak 20 tahun lalu, tetapi pengalaman memancing toman di Tasik Kenyir ini paling luar biasa,” kata Afendi Omar, 42, seorang daripada 24 peserta Ekspedisi Memburu Toman di Tasik Kenyir.

Menurutnya, dia sudah empat kali ke Tasik Kenyir untuk memancing toman, tetapi ekspedisi ini paling memuaskan hati kerana berjaya menaikkan 20 kilogram (kg) toman, baung dan lampam.

“Saya cukup teruja apabila berjaya menaikkan toman seberat 5kg. Saiznya yang besar menyukarkan saya mengawalnya dan pada masa sama, saya perlu pastikan tali pancing tidak putus.

“Hampir 15 minit bertarung, akhirnya toman itu dapat dinaikkan. Selain keseronokan memancing, peserta juga memperoleh pengalaman meredah hutan menaiki pacuan empat roda untuk ke lubuk toman yang mengambil masa tiga jam dari Gawi,” katanya yang berasal dari Kampung Titian Hangus, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 6:37 AM