Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: Laman web Harian Metro (HM), myMetro terus mengungguli portal berita di Malaysia untuk suku pertama 2017 apabila meraih pelayar unik (UV) tertinggi dalam kategori berita dan maklumat.

Berdasarkan laporan terbaru dikeluarkan syarikat pengukur digital ComScore Inc, myMetro yang boleh dilayari menerusi www.hmetro.com.my mencatatkan 9.88 juta UV sepanjang Januari hingga Mac 2017 dan mengatasi pesaingnya dengan kelebihan 421,000 UV.

Statistik berkenaan merangkumi pelayar yang mengunjungi laman web HM menggunakan komputer, telefon pintar dan tablet.

Pelayar myMetro yang menggunakan komputer mencatatkan 1.43 juta UV manakala telefon pintar dan tablet, 9.33 juta UV.

Bagi segmen video HM, MetroTV kini mempunyai 91,792 langganan di YouTube dan mencatatkan 3.36 juta tontonan sepanjang Mac lalu.

Facebook (FB) HM kini mencatatkan lebih 4 juta ‘likes’, manakala Twitter rasmi HM @hmetromy mencatatkan 738,000 pengikut sekali gus mencatatkan purata peningkatan sebanyak 547 pengikut dalam tempoh sehari.

HM turut mempunyai akaun Twitter lain mengikut kawasan iaitu @hmutara bagi berita di Perlis, Pulau Pinang dan Perak, @hmtengah (Lembah Klang, Melaka dan Negeri Sembilan), @hmtimur (Kelantan, Terengganu dan Pahang), @hmjohor (Johor), @hmsarawak (Sarawak) dan @metrosabah (Sabah).

Sementara itu, tiga lagi akaun Twitter yang fokus kepada berita dunia, sukan, teknologi dan hiburan iaitu @GlobalHM, @ArenaHM, @TekLabHM dan @myhmrap turut mencatatkan peningkatan pengikut.

Instagram HM, hmetromy pula kini mempunyai 137,604 pengikut.

Sementara itu, data Google Analytics pula menunjukkan laman myMetro mencatatkan 25.8 juta UV pada suku pertama 2017, meningkat 141.73 peratus berbanding suku pertama 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 9:01 PM