Pemain Britain Mark Gleghorne (empat, kanan) membuat pukulan ke pintu gol pasukan Australia. FOTO BERNAMA
Pemain Britain Mark Gleghorne (empat, kanan) membuat pukulan ke pintu gol pasukan Australia. FOTO BERNAMA
Azizan Hashim


Ipoh: Juara bertahan, Australia mengatasi Britain 2-1 untuk muncul pasukan pertama layak ke final kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah Edisi ke-26, hari ini.

Jaringan Matt Dawson dari pukulan sudut penalti lapan minit sebelum tamat membolehkan juara sembilan kali itu berpeluang memburu gelaran kali ke-10, Sabtu ini.

Seminit sebelum itu Britain memadam kelebihan dinikmati Australia apabila Mark Gleghorne menyudahkan gerakan dimulakannya dari tengah padang.

Selepas kebuntuan gol pada suku pertama dan kedua, Australia memecah kebuntuan melalui Trent Mitton pada m-44.

Sementara itu, dua jaringan Mandeep Singh dalam tempoh tujuh minit pada penghujung suku keempat membantu India merakam kemenangan tipis 4-3 ke atas Jepun.

Mandeep menyumbang hatrik pada perlawanan itu menjaring gol penyamaan pada m-51 dan tujuh minit kemudian melakukan sentuhan pemusnahnya untuk India mengutip mata penuh.

Seperti perlawanan lalu, Jepun mempamer kualiti berjuangnya untuk mendahului dua kali sebelum dihampakan oleh lawan lebih pengalaman.

Dengan kejayaan itu India menghidupkan peluangnya untuk ke final dengan syarat menang perlawanan terakhirnya bertemu Malaysia, Jumaat ini.

Manakala Britain pula perlu melepasi halangan New Zealand jika ingin ke final.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 9:49 PM