SAAD menunjukkan Al-Quran yang ditulisnya dengan tangan berukuran 700 meter panjang di kediamannya di Gharbia, utara Kaherah.  - Reuters
SAAD menunjukkan Al-Quran yang ditulisnya dengan tangan berukuran 700 meter panjang di kediamannya di Gharbia, utara Kaherah. - Reuters
Agensi

Gharbia: Seorang artis Mesir yang belajar sendiri selepas gagal meneruskan persekolahannya, menghabiskan masa tiga tahun untuk menghasilkan apa yang diharapkannya sebagai kitab suci Al-Quran terbesar di dunia.

Saad Mohammed yang sebelum ini menghasilkan lukisan bertemakan Islam pada dinding dan siling rumahnya di Gharbia, bandar di utara Kaherah, berjaya menyalin ayat suci Al-Quran pada kertas sepanjang 700 meter.

Dia mempamerkannya dalam kotak kayu besar yang dilengkapkan dengan roda pada setiap hujungnya.

“Al-Quran ini sepanjang 700 meter dan sudah pasti saya menggunakan kertas yang banyak. Saya membiayai sendiri projek ini dan menghabiskan masa tiga tahun untuk menyiapkannya,” katanya dalam wawancara dengan Reuters Television.

Saad yang berkata dia tidak mempunyai sebarang harta merancang mengemukakan Al-Quran itu untuk dimasukkan ke dalam Rekod Dunia Guinness.

Menurut Guinness, rekod Al-Quran yang dicetak yang terbesar di dunia sudah ada tetapi setakat ini belum ada pemegang rekod untuk versi tulis tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 5:11 AM