Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Orang awam diingatkan supaya tidak mendapatkan khidmat daripada pengamal pergigian haram yang tidak bertauliah kerana dibimbangi berdepan risiko dan komplikasi seperti ulser mulut, gigi longgar, karies gigi dan gusi bernanah.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lebih membimbangkan, pelanggan juga berisiko dijangkiti virus HIV dan Hepatitis kerana pembasmian kuman ke atas peralatan tidak dilakukan dengan sempurna.

Beliau berkata, kementerian sedia maklum dan memandang serius mengenai kegiatan pengamal pergigian haram (illegal dental practitioners) yang semakin berleluasa dalam menawarkan perkhidmatan pergigian kosmetik seperti pemasangan pendakap gigi (braces) dan venir pergigian (dental veneers).

"Kami turut berasa khuatir kerana orang ramai masih kurang sedar bahawa mereka yang menawarkan prosedur tersebut adalah tidak bertauliah akibat mudah tertarik dengan tawaran harga yang dianggap murah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, sejak tahun 2015 sehingga kini, sebanyak 46 aduan diterima mengenai pengamal pergigian haram.

Dr Noor Hisham berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 18 kes berjaya di bawa ke mahkamah untuk pendakwaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 10:44 AM