AHMAd Zahid menerima cenderahati daripada Penasihat Agama kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), Tan Sri Dr Abdullah Md Zin (dua kanan). Turut bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengarah Institut Wasatiyyah, Datuk Mohd Yusof Din. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Penahanan dua lelaki warga Turki berkaitan aktiviti mengancam keselamatan negara adalah berdasarkan maklumat diperolehi polis selain menjejaki beberapa komunikasi yang dilakukan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua pihak seharusnya menghormati maklumat diperolehi pihak polis dan ia bukan satu tuduhan tetapi berkait dengan operasi.

"Daripada kaunter Pusat Digital Serantau Memintas Komunikasi, kita mempunyai beberapa dapatan berhubung komunikasi yang dilakukan namun, jangan khuatir kerana kita tidak menzalimi mana-mana pihak.

"Jika mereka tidak terbabit atau tahap pembabitan adalah minimun, kita beri jaminan kepada keluarga untuk dibebaskan manakala, sekiranya ada bukti kukuh (terbabit aktiviti mengancam keselamatan negara), tindakan dilakukan mengikut perundangan," katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 Fiqh Wala' dan Taat: Peranannya Dalam Mensejahterakan Negara di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan dalam akaun Twitter, dua lelaki warga Turki didakwa menjadi mangsa culik sekumpulan penjenayah menaiki dua kereta di kawasan tempat letak kereta Damansara Height, Petaling Jaya sebenarnya ditahan polis.

Dua lelaki terbabit adalah guru sekolah swasta dan ahli perniagaan ditahan polis berkaitan aktiviti yang mengancam keselamatan negara.

FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 6:32 PM