IZMAN (kiri) meraikan gol kedua bersama rakan sepasukannya.
Aziman Rosdi

Shah Alam: Keyakinan UiTM FC untuk bersaing merebut dua slot ke Liga Super musim depan semakin membara apabila menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-3 dalam aksi Liga Perdana di Stadium UiTM semalam.

Menurut jurulatih UiTM FC Wan Mustafa Wan Ismail, beliau percaya dengan prestasi dipamerkan anak buahnya ketika ini, tidak mustahil untuk mereka mengejar Negeri Sembilan dan Terengganu yang kini menduduki dua kedudukan teratas liga.

“Perlawanan yang sengit, kelekaan bahagian pertahanan membenarkan PDRM untuk bangkit, mujur kami mempunyai dua tonggak penyerang berbisa untuk memanfaatkan setiap peluang.

“Kami berjaya menjarakkan jurang mata dengan pasukan atas dan di sini pemain semakin yakin untuk memberi tentangan merebut tempat ke Liga Super musim depan.

“Kemenangan pertama pada pusingan kedua liga ini amat bermakna buat kami meneruskan perjuangan,” katanya kepada Arena Metro selepas perlawanan semalam.

Dalam pertemuan itu, pasukan tuan rumah mendahului dua gol menerusi jaringan penyerang import dari Korea Selatan Do Dong-hyun seawal minit ke-4 sebelum dia membantu Muhammad Izman Solehin menanduk masuk gol kedua pada minit ke-7.

Bagaimanapun PDRM bangkit menerusi sepakan penalti Bakary Dao pada masa kecederaan babak pertama sebelum kapten Safuwan Baharudin menyamakan kedudukan di minit ke-50.

Tersentak dengan jaringan itu, UiTM FC kembali mendahului menerusi percubaan Dong-hyun dua minit kemudian serta penjaring terbanyak liga Akanni Sunday pada minit ke-59.

Biarpun Safuwan berjaya merapatkan kedudukan di minit ke-65 menerusi sepakan percuma namun pasukan tuan rumah ampuh bertahan mempertahankan kelebihan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 12:07 AM