YUSUF Azmi memeluk anaknya sebelum berlepas ke tanah suci. FOTO Yusmizal Dolah Aling
YUSUF Azmi memeluk anaknya sebelum berlepas ke tanah suci. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Saya akan terus memperjuangkan isu pengguna ini selama yang boleh. Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk kepentingan umum.

"Doakan kesihatan saya dan rakan-rakan. Insya-Allah usaha ini akan berterusan," kata Ketua Sekretariat Persatuan Anak Muda Islam Malaysia (AMIM) Yusuf Azmi.

Beliau berlepas ke tanah suci petang semalam untuk menunaikan umrah dan 'berubat' ekoran kesihatannya yang merosot kebelakangan ini.

Katanya, sebagai seorang aktivis, dia sentiasa bersedia dengan apa juga cabaran termasuk penyakit misteri yang dialaminya sejak setahun lalu.

Menurutnya, keadaan itu tidak akan melemahkan semangatnya untuk membantu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyelesaikan pelbagai isu kepenggunaan yang diterima.

"Memang saya diuji dengan penyakit misteri, sampai sekarang masih berubat dengan pengamal perubatan Islam.

"Doakan segala urusan dipermudahkan. Saya harap berkat ibadat umrah ini, kami terus diberikan kekuatan untuk membantu masyarakat," katanya yang juga Penyelaras Briged Pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 12:06 PM