LOKASI Azmi dihempap buah kelapa. Gambar kecil, Azemi Jamaludin.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seorang lelaki menemui ajal selepas dipercayai dihempap buah kelapa dalam kejadian di FELDA Lui Timur, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku jam 10.30 pagi, ketika mangsa Azemi Jamaludin, 59, dikatakan sedang mengait buah berkenaan di belakang rumahnya.

Beliau berkata, kejadian disedari anak perempuan berusia 18 tahun selepas melihat bapanya dalam keadaan terbaring dengan mulut dan hidung berdarah.

"Anaknya kemudian menghubungi Klinik Kesihatan Lui Muda dan pegawai perubatan yang menjalankan pemeriksaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia," katanya.

Noorzainy berkata, mayat dibawa ke hospital Jempol untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 4:34 PM