PEMAIN Sabah meraikan kejayaan menundukkan Terengganu.
PEMAIN Sabah meraikan kejayaan menundukkan Terengganu.

Kota Kinabalu: Kemenangan 2-1 terhadap Terengganu di Stadium Likas, kelmarin, membuktikan usaha Jelius Ating sejak mengambil alih tugas pengendali Sabah terus menampakkan perubahan positif.

Pengurusnya, Datuk Juil Nuatim, berkata Jelius melakukan tugas dengan baik sejak dilantik sebagai ketua jurulatih menggantikan Steve Vilmiaire pada 20 Mac lalu.

“Jelius bukan saja menerapkan corak permainan baru yang sesuai dengan kemampuan pemain, tapi juga mempertingkatkan permainan berpasukan pemain,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, dua kemenangan dari empat perlawanan liga sejak Jelius menjadi pengendali adalah rekod lebih baik berbanding hanya satu kemenangan, sekali seri dan enam kekalahan dari lapan perlawanan ketika pasukan itu dibimbing Vilmiaire.

“Saya bukan mahu mengungkit rekod sebelum ini, tapi itulah hakikatnya dan seperti yang dikatakan sebelum ini, kami perlu beri Jelius masa dan peluang serta kepercayaan.

“Kami di sini (dalam pasukan) akan berkerja keras mengubah pasukan ini menjadi lebih baik walaupun mengambil risiko akan dikecam apabila terpaksa mengambil tindakan tidak popular.

“Ada segelintir pihak mengecam tindakan mengetepikan dua pemain import tapi kami terus berpegang kepada keputusan itu kerana demi kebaikan pasukan,” katanya.

Juil berkata, kemenangan aksi pertama pusingan kedua, kelmarin, memberi harapan baru untuk Sabah bagi meneruskan cabaran dengan lebih baik.

Beliau turut yakin pasukan itu akan lebih mantap jika mendapat tambahan pemain terutama import berkualiti seperti dikehendaki Jelius.

“Jika semuanya berjalan lancar, Sabah akan kembali diperkuatkan dengan empat import apabila kami bertemu Kuantan FA pada 24 Mei ini,” katanya.

Kemenangan ke atas skuad Penyu itu mengekalkan Sabah di tangga kesembilan dengan 10 mata daripada 12 perlawanan, sekali gus menjarakkan kedudukan dengan pasukan yang berada di zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 8:39 AM