Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barang yang dirampas daripada Teloi dan gambar kanan, dua suspek yang diburu. - Foto OMAR OSMAN
BERNAMA

Sungai Petani: Polis menembak seorang daripada suspek 'Geng Teloi' dan merampas 30 batang wayar kabel bernilai RM2,000 di Kampung Tengkorak Batu, Bukit Selambau dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, kejadian berlaku pada kira-kira 5.30 pagi apabila polis menerima laporan kes curi kabel dilakukan lelaki berumur 29 tahun itu dan dua rakannya di Taman Berlian Indah dekat sini.

“Anggota unit peronda polis (MPV) yang menerima maklumat bergegas ke lokasi sebelum bertembung dengan kereta Proton Perdana dinaiki semua suspek," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, hari ini.

Md Zukir berkata, suspek memecut laju kenderaan namun terbabas dan terlanggar tangga pintu depan surau Kampung Tengkorak Batu, Bukit Selambau.

Dua lagi suspek lelaki berumur 26 dan 33 tahun melarikan diri, namun suspek berumur 29 tahun itu meluru ke arah seorang anggota MPV sambil memegang kapak.

“Polis yang mempertahankan diri terpaksa melepaskan satu tembakan mengenai paha kanan suspek," katanya.

Pemeriksaan pada kenderaan suspek, polis menemui kabel bersama dua pemotong kabel, satu tukul tajam, satu penukul besar dan satu gulung wayar kabel Telekom Malaysia (TM).

Semakan mendapati suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Polis percaya suspek sudah melakukan kegiatan itu lebih daripada sekali dengan modus operandi menarik kabel yang dipotong menggunakan kereta," katanya.

Katanya polis kini dalam usaha mengesan dua lagi suspek dikenali sebagai Mohamad Nur Mustaqim Abdul Hadi dan Mohd Shahrin Abd Rani yang melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 7:59 PM