Motosikal ditunggang mangsa bertembung dengan lori membawa muatan buah kelapa sawit di Jalan Muhill, Balung, Tawau. - Foto Ainul Durmahyanty Durming
Ainul Durmahyanty Durming


Tawau: Lelaki berusia 19 tahun terbunuh selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan lori muatan kelapa sawit di Jalan Muhill, Balung, dekat sini, tengah hari, hari ini.

Dalam kejadian 1.10 tengah hari itu, Kamar Khan Yusup, pekerja am Ladang Borneo Samudera Sawit Kinabalu, meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Balung, dekat sini, manakala pemandu lori berusia 63 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, siasatan mendapati motosikal ditunggang mangsa dari arah Bulatan Balung menuju Bukit Quoil, dipercayai memasuki laluan bertentangan di satu selekoh dan bertembung dengan lori

"Penunggang berkenaan tercampak ke atas jalan raya manakala motosikal terseret oleh lori ke bahu jalan.

“Mangsa yang parah dibawa ke Klinik Kesihatan Balung oleh orang awam namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 8:12 PM