FIRDAUS bakal hadapi kejohanan besar.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Tiada ruang buat pemenang tiga pingat emas Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2014 Muhammad Firdaus Mohd Zonis melangkah ke Sukan Olimpik Rio di Brazil tahun depan kerana tumpuan kini terarah kepada usaha untuk melayakkan Azizulhasni Awang (gambar kecil).

Menurut ketua jurulatih negara John Beasley, keputusan itu dibuat lantaran sistem kelayakan ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang menetapkan hanya dua pelumba terbaik Asia dalam kategori pecut individu dan keirin beraksi di Rio.

Firdaus dan Muhammad Shah Firdaus Shahrom adalah dua pelumba negara yang dilaporkan bakal diserapkan ke skuad elit bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Josiah Ng dan Muhammad Edrus Yunos yang mengumumkan persaraan mereka.

“Kedua-dua pelumba itu mempunyai masa depan cerah. Kita perlu bersabar dan memberikan masa untuk membolehkan tubuh mereka matang serta mempelajari selok-belok perlumbaan di tahap tertinggi.

“Namun kedua-duanya kekal dalam perancangan untuk menghadapi beberapa kejohanan besar selepas ini seperti Sukan SEA 2017, Sukan Komanwel 2018, Sukan Asia 2019 dan Olimpik 2020,” kata Beasley yang berpangkalan di Melbourne, Australia.

Tambahnya, pelumba muda seperti mereka masih memerlukan masa dengan banyak kesilapan bakal dilakukan dalam tempoh beberapa tahun mendatang seperti dialami Azizulhasni dan Josiah sebelum ini.

Firdaus dan Shah Firdaus dijangka menguatkan cabaran negara di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Thailand awal bulan depan dengan Beasley berjanji akan menghantar skuad terkuat ke kejohanan berkenaan bagi memburu kilauan pingat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 4:52 AM