Memandangkan banyak program hiburan dibatalkan kerana menghormati mangsa banjir serta keadaan cuaca yang kurang baik sekarang, SS pilih melepak di rumah saja pada Sabtu lalu.

Kebetulan slot Cerekarama TV3 menyiarkan telefilem Cahaya Malaika, jadi SS pun tidak melepaskan peluang menontonnya. SS akui tertarik nak menonton kerana publisiti telefilem ini banyak disiarkan menerusi akhbar.

Apatah lagi pelakon utama telefilem ini bukan calang-calang iaitu Que Haidar yang menjadi pujaan SS sejak dulu. Lagipun sudah lama SS tidak menonton lakonannya di kaca TV. Rasa­nya peminat lain juga mempunyai pandangan serupa dengan SS.

Tajuk telefilem ini juga me­ngundang keinginan peminat untuk menonton kerana seperti yang kita maklum, Cahaya Malaika adalah nama yang digunakan untuk anak pasangan artis Asmawi Ani atau Mawi dan isterinya Ekin.

Bagaimanapun, jangan terkeliru kerana cerita ini memang tiada kena mengena dengan anak pasangan itu dan ia berlaku secara kebetulan. Cahaya Malaika dipilih bagi menggambarkan intipati telefilem ini yang mempunyai makna tersendiri.

Selepas menonton dari awal hingga akhir, hati SS sebak kerana ceritanya memang sedih dan meruntun hati. Tidak ragu-ragu SS katakan telefilem arahan Raja Mukhriz ini memang terbaik dan mampu merangkul beberapa anugerah.

SS lihat seperti biasa Que memberikan lakonan terbaiknya. Paling buat SS tabik ialah dia sanggup korbankan rambut­nya sehingga botak walaupun hanya untuk membintangi telefilem.

SS ucapkan tahniah buat TV3 kerana menyiarkan cerita menarik ini. Apatah lagi Sabtu lalu sambutan Maulidur Rasul yang diraikan di negara kita. Juga tahniah buat penerbitnya, Enuja Production kerana menghasilkan cerita menarik dan penuh pengajaran.

Cahaya Malaika jadi 'trending' di laman sosial pada malam itu dan diperkatakan meluas di Facebook. Ada peminat yang tidak berpeluang menonton minta TV3 me­ngulang siar semula cerita ini.

SS: Terharu melihat masyarakat berganding bahu dengan golongan artis bagi membantu mangsa banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 5:00 AM