Brisbane: Bintang Russia Maria Sharapova (gambar) dan Ana Ivanovic dari Serbia mengatasi lawan masing-masing di separuh akhir kejohanan Antarabangsa Brisbane semalam sekali gus bakal bertemu di final pertandingan dijadikan pemanas badan sebelum Terbuka Australia bulan ini.

Maria menewaskan pemain Ukraine Elina Svitolina 6-1 6-3 untuk menempah tiket ke final manakala Ana sedikit bergelut sebelum menang 7-6(2) 6-4 ke atas pemain Amerika Syarikat Varvara Lepchenko.

Maria pernah menewaskan Ana di final Terbuka Australia 2008 dan kedua-dua pemain itu bertekad untuk menyerlah di kejohanan Grand Slam pertama musim ini yang bakal berlangsung di Melbourne, 19 Januari nanti.

Maria hanya tercicir sembilan perlawanan sepanjang tiga aksi sebelum ke final dan dia tidak memberi peluang buat Elina - bintang yang pernah menjulang Terbuka Remaja Perancis 2010.

Ana yang bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum menang perlawanan sebelumnya, sekali lagi dilihat bergelut untuk mengatasi Varvara dan dia hanya boleh tersenyum selepas dua jam apabila diisytiharkan sebagai pemenang.

“Sudah tentu jantung saya berdegup kencang dan saya mengharungi perlawanan yang cukup sengit,” kata Ana.

“Walaupun pada satu ketika saya mendahului 5-1, saya masih belum berjaya bertenang.”

Ana mahu memburu gelaran WTA ke-16 baginya dan yang kelima dalam tempoh 12 bulan.

Ana menduduki tangga ketujuh dunia dan pemain berusia 27 tahun itu adalah antara pilihan di Terbuka Australia nanti. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 5:09 AM