Skip this ad x

Kuala Lumpur: Pemaju perumahan di negara ini melihat kadar kelayakan baru Pinjaman Perumahan Perbendaharaan Malaysia 2015 sebagai satu perkara positif kepada industri hartanah yang mana ia bukan sekadar berkaitan membina hartanah kos rendah, namun menawarkan hartanah yang sesuai dengan jenis, lokasi, persekitaran dan harga mengikut lokasi tertentu.

Pengarah Urusan Andaman Property Management Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Vincent Tiew berkata, perkara itu juga membolehkan penjawat awam berpeluang memiliki hartanah idaman masing-masing yang mungkin berada pada harga sedikit tinggi dan saiz lebih besar daripada harga hartanah sebelum ini.

“Secara peribadi, saya menggalakkan pemaju hartanah lain untuk membina hartanah yang memenuhi keperluan dan kehendak dalam pasaran tertentu terutama dalam keadaan industri hartanah mencabar pada tahun ini. Saya lihat langkah terbaru kerajaan ini berada pada landasan tepat dan dijangka mampu dilaksanakan tanpa sebarang masalah,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Beliau berkata, had kelayakan lebih tinggi dan kriteria pinjaman lebih mudah dilihat baik untuk membantu kakitangan awam yang benar-benar berminat, memerlukan dan pembeli rumah yang serius untuk membeli atau melakukan pelaburan melalui hartanah terbabit.

“Apabila berkata mengenai kemampuan, membeli rumah adalah berbeza daripada membeli kereta di mana ia berupaya untuk mendapatkan jaminan atau sejumlah pinjaman tertentu bergantung kepada kelayakan kewangan pembeli,” katanya.

Ketika mengulas adakah pengumuman kadar kelayakan terbabit memberi peluang kepada pemaju untuk mengambil kesempatan ke atas pembeli, Vincent berkata, perkara itu dijangka tidak banyak berlaku memandangkan pembeli rumah kini memiliki pelbagai pilihan rumah di pasaran.

“Sebagai contoh, tidak mungkin pemaju akan meningkatkan harga rumah kepada RM150,000 sebagai harga pelancaran jika kebanyakan rumah di kawasan sekitar ditawarkan pada RM120,000. Oleh itu, saya lihat situasi seperti ini tidak mungkin menjadikan kakitangan awam berhenti untuk membeli lebih banyak hartanah pada harga tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 5:32 AM