Skip this ad x
CONTOH rumah kos sederhana.
Oleh Sofyan Rizaq Ishak

Kuala Lumpur: Had kelayakan minimum Pinjaman Perumahan Perbendaharaan Malaysia 2015 perlu ditingkatkan kepada tahap lebih munasabah terutama di empat negeri yang memiliki harga rumah agak tinggi iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

Pengarah Urusan dan Perunding Hartanah IM Global Property Consultant Sdn Bhd, Ishak Ismail berkata, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan untuk mengkaji semula had kelayakan minimun di negeri terbabit memandangkan purata harga rumah kos rendah bagi pasaran sekunder di kawasan terbabit berada pada sekitar RM150,000 ke bawah.

Menurutnya, had minimum yang ditawarkan melalui kadar terbaru itu dilihat tidak seimbang dengan had kelayakan maksmimum memandangkan had kelayakan maksimum ditingkatkan sehingga RM600,000 sedangkan had minimum tidak berupaya membantu kakitangan awam untuk memiliki kediaman sendiri.

“Saya mencadangkan had minimum kelayakan terbabit dinaikkan kepada RM150,000 hingga RM180,000 kerana ia dijangka memberi lebih banyak peluang kepada kakitangan awam membeli rumah,” katanya pada Bisnes Metro di sini, semalam.

Beliau berkata, kadar kelayakan baru itu diakui memberi peluang lebih positif kepada kakitangan awam memiliki rumah memandangkan kenaikan harga rumah pada masa kini dan turut membantu merancakkan industri hartanah yang dijangka berhadapan dengan pelbagai cabaran pada tahun ini.

Kakitangan awam boleh mengambil kesempatan daripada inisiatif itu untuk melakukan pelaburan melalui pemilikan rumah dan ia boleh menjadi aset atau persediaan untuk berhadapan dengan peningkatan inflasi pada masa depan.

“Saya yakin kadar terbaru ini memberi impak positif kepada kakitangan awam di mana pihak pemaju akan mengkaji semula permintaan untuk pembeli yang sebelum ini tidak layak dengan menurunkan sedikit harga rumah, sekali gus membolehkan kakitangan awam dengan pendapatan rendah memiliki rumah idaman masing-masing.

“Selain itu, ia mampu memberi keceriaan kepada pemilik rumah sedia ada yang ingin menjual hartanah mereka pada harga lebih baik di pasaran sekunder kerana potensi jualan tinggi dan berpeluang menikmati harga jualan lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 5:33 AM