MOHAMAD di hadapan rumah sewanya yang hanyut.
MOHAMAD bersama anak, menantu dan cucu di depan treler yang dijadikan rumah untuk berteduh.
Oleh Azlan Hafeedz
am@hmetro.com.my

Kuala Krai: Hampir tiga minggu rumah mereka hilang dibawa arus deras banjir, sebuah keluarga besar membabitkan 20 orang terbiasa menghuni penempatan sementara mereka iaitu masing-masing treler dan Perodua Kancil.

Mereka meletakkan kenderaan itu di tepi Jalan Geale di sini, berdekatan rumah sewa mereka yang ranap akibat banjir pada 23 Disember lalu.

Mohamad Chik, 51, atau Pak Man berkata, dia cukup sedih mengenangkan 16 anak, cucu dan menantunya terpaksa tidur berhimpit-himpit dalam treler manakala empat lagi pula terpaksa tidur dalam kereta.

“Hati saya sayu mengenangkan nasib kami. Mujur ada treler yang boleh dijadikan tempat berteduh tetapi kami ahli keluarga ramai, tetap tidak muat menempatkan semua mereka.

“Anak sulung berusia 38 tahun bersama isteri dan dua anak mereka tidur dalam kereta mereka.

“Saya sering berkongsi kesedihan dengan isteri Wan Rahmah Wan Ahmad, 51, terutama apabila cucu berusia enam bulan hingga 13 tahun menangis akibat kesejukan dan kelaparan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Pak Man yang juga pemandu treler berkenaan berkata, dia menggunakan papan buruk dari rumah sewa yang ranap untuk menambah bahagian belakang treler untuk dijadikan bilik tidur.

Menurutnya, ia memang tidak selesa tetapi cukup untuk memastikan mereka tetap ada tempat untuk berehat dan berteduh walaupun bilik tidur sementara itu tidak mempunyai atap.

Di belakang treler sepanjang 12 meter itu, mereka melakukan aktiviti harian seperti memasak, makan dan tidur sebelum mengalihkan dapur sementara itu di tepi kenderaan selepas menerima kanvas pemberian orang ramai.

“Buat masa ini, kenderaan ini menjadi tempat tinggal kami. Syukur majikan memahami keadaan saya sekeluarga dan membenarkan treler ini dijadikan rumah.

“Siapa tak sedih terutama melihat cucu masih kecil terpaksa berjaga malam digigit nyamuk dan bersesak-sesak hingga ada yang menangis ditindih.

“Bekalan elektrik dan air bersih pun tiada. Kami berjimat-cermat menggunakan lilin pemberian orang selain menadah air hujan manakala untuk mandi, budak-budak ke sungai berhampiran,” katanya yang mendapatkan bantuan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1.

Menurutnya, selain kudratnya masih kuat, dia berusaha mencari kediaman sesuai untuk mereka walaupun sebesar reban ayam.

“Rumah pun kami sewa selama 40 tahun. Saya tiada tanah untuk dibina rumah baru. Memang buntu memikirkan di mana kami anak-beranak mahu tinggal selepas ini.

“Namun, saya tetap berusaha mencari rumah sesuai walaupun hanya sebesar reban ayam,” katanya sebak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 6:05 AM