Adakah menukar sistem ekzos dan tabung tengah asal kepada produk selepas jualan yang dijual di pasaran memberi kesan kepada prestasi enjin kereta saya? Selain itu, adakah ia memberi masalah kepada enjin?

Saya juga mahu mendapat pandangan berhubung tayar dan rim terkeluar daripada badan kereta yang kini menjadi 'trend' pemandu di negara ini.

MUHAMAD SYUKUR

Kuala Lumpur

Modifikasi sistem ekzos memberi kesan sampingan dan turut menyebabkan pencemaran bunyi yang dikawal oleh Jabatan Alam Sekitar.

Di samping itu, tahap penggunaan petrol mungkin bertambah biarpun ia akan meningkatkan kuasa enjin.

Malah apabila enjin lebih berkuasa, suhu operasinya turut meningkat kerana menggunakan bahan api yang banyak.

Operasi enjin lebih lawas dan putaran seminit cepat mening­kat, sekali gus menyebabkan kehausan enjin dengan cepat.

Anda mungkin mampu mengelak kerosakan enjin dengan menggunakan minyak pelincir kualiti.

Piring klac juga lebih cepat haus kerana tekanan spring tidak mampu mengelak gelinciran yang dihasilkan oleh pertambahan kuasa enjin. Jadi, tukar kepada perumah klac lebih berkualiti seperti produk perlumbaan.

Sukar difahami sebenarnya kenapa semakin makin ramai pemilik kereta terikut-ikut gaya rim dan tayar 'terkeluar' atau dikenali sebagai tayar kangkang.

Pihak berkuasa kini menjalankan operasi memburu pesalah kereta yang menggunakan tayar kangkang dan mereka akan dikenakan denda.

Mereka yang menggunakan tayar kangkang membahayakan pemandu lain kerana permukaan tayar yang menyentuh jalan adalah berkurangan daripada asal.

Ia akan mengurangkan kecekapan membrek dan mampu menyebabkan kereta hilang kawalan dengan mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 5:00 AM