PIHAK pengurusan rancang bawa namanya ke peringkat lebih jauh, mungkin ke pasaran Korea.
PIHAK pengurusan rancang bawa namanya ke peringkat lebih jauh, mungkin ke pasaran Korea.
Oleh Amirul Haswendy Ashari


Masih ingat rakaman video gadis cantik beraksi gedik memuji diri sendiri dengan dialog "Macam cantik je, macam comel je" satu ketika dulu?

Rakaman itu menjadi viral dan mendapat reaksi pelbagai pihak. Dalam sekelip mata, gadis dikenali sebagai Syasya Solero ini mula dikenali ramai.

Mungkin tertulis rezekinya, dari situ Syasya mula melangkah ke dunia hiburan tempatan de­ngan menjayakan iklan dan drama.

Cantik menggayakan busana hitam rekaan 7th Jehan pada sesi fotografi bersama SELEBRITI, siapa sangka gadis cantik itu sebenarnya baru berusia 18 tahun.

Tidak hairan, pada usia itu Sya­sya atau nama sebenarnya Siti Syasya Rosaelmi Ahmad masih mentah dengan sepak terajang industri hiburan tempatan.

Apatah lagi, kadangkala dia belum dapat terima kejian dan tohmahan orang luar yang rata-rata cuba menghukum orang lain.

Katanya, dulu memang dia cepat melenting dan membalas komen negatif yang ditulis di laman sosial miliknya. Waktu itu Sasha akui belum faham dan terlalu sensitif sebagai remaja yang meningkat dewasa.

"Antara komen mereka berunsur carutan melampau dan mereka-reka cerita tidak betul. Saya tidak kisah kalau teguran itu cara baik. Sekarang saya buat tak layan saja dan hanya balas komen yang baik," katanya.

Pemilik akaun Instagram menggunakan nama Asyalliee dengan lebih 130,000 pengikut itu berkata, antara isu utama yang sering disentuh 'pengkritik' negatif biasanya disebabkan dua perkara iaitu K-pop dan solekan.

Katanya, sedari dulu dia me­ngikuti perkembangan muzik K-pop dan bercita-cita untuk berlakon atau beraksi di pentas bersama kumpulan K-pop seperti EXO, BTS, Gixx, Infinite dan God Seven.

"Kebanyakan komen negatif diterima daripada remaja bawah umur. Selain pertikai artis K-pop yang diminati, saya sering diperlekeh kerana suka mengenakan solekan.

"Kadangkala saya menangis sebab ada antara cacian itu menjatuhkan maruah. Namun, saya bersyukur ramai juga yang beri nasihat berguna untuk saya," katanya yang mula positif dengan kehidupan kini.

Kerana minat terhadap muzik K-pop, Syasya kini dalam proses mempelajari bahasa Korea.

Katanya, pihak pengurusannya mempunyai perancangan untuk membawa namanya ke peringkat lebih jauh, mungkin ke pasaran Korea, satu hari nanti.

Selain itu, anak keempat daripada lima beradik ini turut menjalani latihan dalam bidang peragaan dan lakonan sebagai persiapan rapi melangkah masuk ke dunia hiburan.

Setakat ini, Syasya mula berlakon beberapa telefilem, antaranya Secawan Kopi Sebungkus Roti arahan Zamani untuk TV1 dan filem pendek Kaki Gebang arahan Ayez Shouket untuk TV9.

"Banyak benda saya kena belajar apabila berada dalam dunia hiburan. Untuk berlakon, saya kena belajar hafal skrip, menerima arahan pengarah dan belajar berlakon.

"Keterujaan saya bertambah apabila dapat bertemu pelakon tempatan dan me­ngenali mereka dengan lebih dekat," kata anak kelahiran Kulim, Kedah ini.

Sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sya­sya mendalami ilmu bergelar penyampai radio.

Katanya, selepas tamat latihan bersama pihak pe­ngurusannya, dia akan jadi penyampai radio di Ewana.FM bermula Feb­ruari depan.

Melihat satu demi satu bidang diceburi Syasya, tidak mustahil gadis peramah ini mampu memberikan sesuatu yang istimewa kepada industri hiburan.

Katanya, dia berharap peminat dan khayalak industri hiburan dapat memberi peluang kepadanya menonjolkan kemampuan.

"Saya mahu cuba semua benda, termasuk berlakon, mengacara dan modeling, tapi tak mungkin nyanyian sebab tahu saya tidak boleh menyanyi," katanya ketawa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 5:01 AM