X
DAPOER Dago menyediakan pelbagai juadah Indonesia.
DAPOER Dago menyediakan pelbagai juadah Indonesia.
Oleh Zaitie Satibi

Dek mahukan masakan asli dari Indonesia yang memiliki keunikan dan sensasi tersendiri, pengusaha Restoran Dapoer Dago sanggup 'terbang' ke negara jiran berkenaan bagi mencari tukang masak khusus.

Khairul Azim Azman berkata, beliau juga mencari variasi makanan Indonesia yang sesuai untuk diperkenalkan di restorannya yang turut diusahakan bersama rakan kongsi, Abu Suffian Abu, sebelum memilih kira-kira 30 menu pelbagai makanan Jawa, Sunda, Medan dan Betawi.

"Saya memperkenalkan masakan Indonesia dalam kalangan warga tempatan kerana arwah datuk dan nenek berasal dari sana. Justeru restoran ini yang melalui penjenamaan semula lebih enam bulan lalu sebagai mengenang asal keturunan saya.

"Restoran ini dulu hanya menjual masakan Minang sebelum menukar konsep kepada hida­ngan pelbagai masakan Indonesia. Malah, nama restoran ini iaitu Dago juga diambil sempena satu kawasan pelancongan di Bandung yang juga tempat asal arwah nenek," katanya.

Kelainan ditawarkan di Dapoer Dago adalah menu Iga Bakar iaitu rusuk lembu yang diperap dengan lebih 10 rempah. Olahan daging lembu ini yang penuh dengan jus mampu menggugat selera apabila paduan rasa kicap manis semakin menambah kenikmatannya.

"Iga Bakar adalah menu popular di restoran ini dan mendapat permintaan paling tinggi. Kebanyakan pelanggan penggemar masakan daging berkenaan.

"Namun, ada pelanggan yang kali pertama mencuba masakan daging ini juga terus jatuh cinta dan pasti meminta pesanan sama jika kembali ke sini," katanya.

Khairul Azim berkata, beliau juga memperkenalkan menu baru iaitu Nasi Pecel Madiun, Nasi Goreng Komplit dan Nasi Tumpeng yang lengkap dengan lauk dan sayuran pada harga berpatutan.

"Menu Nasi Pecel Madiun dijual pada harga RM10.90 menghidang­kan nasi putih dimakan bersama pecel iaitu sayur direbus seperti kacang panjang, tauge, timun dan kangkung serta kuah sambal kacang sebagai bahan utamanya.

"Ia juga disediakan bersama lauk seperti paru goreng dan telur sambal Bali serta rempeyek bagi me­ngurangkan rasa pedas sambal," katanya.

Menu Nasi Tumpeng yang turut dijual pada harga RM10.90 pula menghidangkan nasi kuning iaitu sejenis hidangan nasi Indonesia dimasak dengan santan dan kunyit. Disebabkan nasi kuning ini disediakan dalam bentuk kon, ia digelar tumpeng dan biasanya dimakan sewaktu upacara khas.

"Bagi masyarakat Indonesia, nasi kuning biasanya disediakan ketika kenduri atau perayaan dan dihidangkan bersama beberapa jenis lauk. Oleh itu, kami memperkenalkan nasi kuning dengan lauk seperti kalio daging, sambal goreng tempe dan ikan bilis serta acar sayur.

"Bagi Nasi Goreng Komplit pula, nasi goreng pedas dihidangkan bersama kalio daging, acar sayur, hirisan telur dadar dan keropok juga dijual pada harga RM10.90," kata­nya.

Antara menu masakan Indonesia lain yang mampu meng­gamit selera ialah Ikan Terbang, Nasi Ayam Golek Jawa, Nasi Urap-urap Komplit Empal Penyet, Iga Penyet, Ayam Penyet, Sup Rawon, Soto Betawi, Soto Madura, Soto Jawa, Soto Medan dan Sayur Asem.

Pencuci mulut pula me­nyenaraikan pisang keju susu (RM4.90), pisang keju coklat hershey (RM5.90) dan pisang aiskrim (RM5.90) yang paling kerap diminta pelanggan.

Dapoer Dago yang terletak di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, beroperasi mulai jam 12.30 tengah hari hingga 9.30 malam dan restoran berkenaan mampu memuatkan kira-kira 100 pelanggan sekali gus. Selain menawarkan masakan Indonesia, restoran ini menjual perabot antik dari Melaka, Pulau Pinang dan Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 5:01 AM