Che Ta berbelanja sakan untuk Aaisyah di London.
Che Ta berbelanja sakan untuk Aaisyah di London.
Oleh Shakilawati Abd Rahman


Seminggu selepas tamat tempoh berpantang, pelakon jelita, Rozita Che Wan dan suaminya Zain Saidin terbang ke London untuk bercuti dan me­nyambut kedatangan 2015.

Ikut perancangan awal, Rozita atau Che Ta mahu menyambut tahun baru di Maldives, namun mengubah destinasi demi keselesaan cinta hatinya, Aaisyah Dhia Rana.

Keputusan itu dibuat selepas anak bujangnya yang baru pulang dari kepulauan terkenal itu memaklumkan cuaca panas terik dan pasti kurang sesuai jika mahu membawa anak kecil.

Justeru, negara Eropah menjadi pilihan Che Ta dan Zain. Lebih meriah apabila kakak sulungnya turut serta dalam percutian itu meneroka London, Amsterdam dan Paris.

Che Ta berkata, sebelum ini dia menyambut tahun baru di Dubai dan Singapura, dan sebagai pembuka tabir 2015 dia dapat merasa kehangatan sambutan di London pula.

Lebih manis apabila Aaisyah ada di sampingnya. Meskipun bayi comel itu belum memahami, ia menjadi kenangan bermakna buat mereka sekeluarga.

"Sebelum ini saya bercuti dengan Zain tetapi kali ini lebih manis apabila ada Aaisyah dan keluarga kakak sulung saya. Alham­dulillah, Aaisyah langsung tak meragam sepanjang percutian ini.

"Betul kata adik-beradik saya, kalau mahu bercuti di luar negara, bawa anak kecil paling mudah. Aaisyah selesa dengan cuaca sejuk, malah kebanyakan masa dia tidur.

"Kalau mahu bersiar-siar atau beli-belah, letak saja dalam kereta sorong bayi dan dia akan tidur. Sepanjang tempoh berpantang pun dia tak banyak ragam, malah jarang menangis. Sebab itu saya berani bawa dia berjalan jauh pada usia semuda itu," katanya yang pulang ke tanah air pada 2 Januari lalu.

Cerita Che Ta, seronok berkunjung ke London dan Paris pada hujung tahun kerana banyak gedung beli-belah serta kedai mengadakan jualan murah.

Ketika itu ramai penduduk serta pelancong mengambil peluang mendapatkan barangan yang di-idam dengan harga murah.

"Contohnya di Harrods, ada yang sanggup beratur panjang seawal jam 6.30 pagi sedangkan gedung beli-belah itu beroperasi jam 10 pagi.

"Banyak juga barang yang saya beli, lebih-lebih lagi untuk Aaisyah. Rambang mata tengok barangan bayi, pantang nampak cantik saya mesti beli.

"Saya malas beratur panjang, jadi kami pergi ke tempat yang tak ramai orang. Biasanya kedai barangan bayi tak ramai orang, jadi senang nak cari barang untuk Aaisyah.

"Saya gila beli kasut, dapatlah enam pasang kasut tumit tinggi manakala untuk Aaisyah pula lapan pasang. Zain pula obses dengan topi, dua beg penuh dia beli," katanya.

Mengenai Amsterdam, kata Che Ta, ini kunjungan pertamanya ke negara dikenali sebagai kincir angin itu dan sangat berpuas hati apabila sempat bersiar-siar ke beberapa destinasi popular di sana.

"Kami menyewa kereta dari London ke Amsterdam, kemudian ke Paris serta pulang semula ke London. Seronok memandu sendiri sebab kami boleh merancang perjalanan dan tidak terkejar-kejar.

"Sepanjang perjalanan pun banyak hentian rehat. Kalau penat, mengantuk, lapar atau mahu ke bilik air, boleh berhenti. Hentian rehat di sana pun besar, bersih, selesa dan ada kemudahan lengkap.

"Walaupun hanya dua malam di Amsterdam, sempat beli-belah pada hari pertama dan hari beri­kutnya bersiar-siar sambil melihat orang main ski," katanya.

Che Ta dan rombongannya berada di Paris selama dua hari satu malam, kemudian kembali ke London untuk menyambut tahun baru.

Katanya, hajat di hati mahu lihat pertunjukan bunga api tapi tiket habis. Hanya Zain dan abang iparnya pergi manakala dia dan kakak melihat bunga api di sekitar kawasan hotel saja. Itu pun meriah.

Che Ta yang baru tamat tempoh berpantang 44 hari pada 21 Disember lalu bersyukur kerana sihat sepanjang percutian itu namun perlu berhati-hati dalam pemakanan.

Biasanya spageti menjadi pilihan utama setiap kali berkunjung ke negara itu, namun kali ini menu wajib itu terpaksa diketepikan dan digantikan dengan juadah sesuai untuk mereka yang berpantang.

"Bab makan, saya pantang 100 hari. Kalau di hotel, kakak saya masak nasi dan kami makan dengan sambal tumis, rendang ayam dan daging yang kami bawa.

"Kalau makan di luar, saya makan ikan bakar. Kalau tak langgar pantang, insya-Allah badan kita akan sihat. Laksa misalnya, setahun selepas bersalin baru boleh makan.

"Alhamdulillah, walaupun cuaca sejuk, saya tak sakit badan kerana tak ambil mudah bab makan," katanya.

Melahirkan Aaisyah pada 1 November tahun lalu, bayi pasangan ini menjadi bualan ramai kerana wajah comelnya apabila dikongsi dengan peminat.

Rabu lalu, Che Ta dan Zain mengadakan majlis akikah anak mereka di Hotel Royal Bintang, Damansara yang dihadiri kira-kira 250 jemputan membabitkan keluarga serta teman rapat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 5:01 AM