Oleh Norhayati Nordin


Baru nak membina nama dalam industri hiburan tanah air, Ziha yang juga bintang Akademi Fantasia 2014 (AF 2014) sudah terpalit dengan cerita sensasi.

Semuanya kerana pemilik nama sebenar Nor Aziha Md Salleh, 20, ini ditegur peminat selepas tampil dengan pakaian jarang ketika muncul meraikan hari ulang tahunnya, baru-baru ini.

Bersua Ziha dalam satu majlis hiburan, gadis yang wajahnya seiras pelakon Yana Samsudin ini berkata, dia sama sekali tidak berniat untuk mencipta kisah sensasi.

Katanya, dia memohon maaf kepada peminat dan berterima kasih kepada mereka yang memberi teguran itu kepadanya.

"Saya akui ia kesilapan sendiri kerana kadang-kadang memang terlepas pandang kehidupan masa kini yang sudah berubah.

"Jika sebelum menyertai AF 2014 dulu, saya hanya gadis biasa yang langsung tidak dikenali masyarakat. Jadi, apa yang saya pakai atau lakukan tidak menjadi perhatian.

"Namun, sekarang saya perlu akur dengan perubahan kehidupan dilalui apabila masyarakat akan ambil tahu setiap gerak geri saya," katanya.

Apapun, Ziha berkata, mujur dia bukan seorang yang cepat melatah. Justeru, segala kritikan diberikan itu meskipun negatif dia menerima dengan hati terbuka.

"Nak kesal atau kecewa sangat dengan apa yang berlaku pun sudah tidak berguna. Apa yang mampu dilakukan hanya boleh menjadikannya sebagai iktibar.

Kini, saya akan lebih berhati-hati dalam memilih pakaian. Sudah semestinya saya tidak boleh membuat keputusan ikut suka hati saja," katanya.

Menurut Ziha lagi, dia juga tidak marah mahu pun berkeci hati dengan teguran diberikan peminat itu dan lebih gemar bersikap positif.

Ziha yang tersingkir pada minggu keenam persaingan AF 2014 lalu kini sudah mula membabitkan dirinya dalam bidang lakonan.

Mendapat kepercayaan pengarah Michael Ang, anak bongsu dalam keluarga itu akan muncul dengan drama Dee sebanyak 13 episod untuk Astro Ceria (saluran 611).

Berbicara lanjut mengenai dirinya yang makin mendapat perhatian sebagai pelakon, Ziha berkata, sebagai artis baru dia berlakon sekadar mahu menimba pengalaman.

Katanya, lagi pun watak Eyka dalam drama Dee dilakonkan itu sangat comel.

Katanya, dia yang melakonkan watak pelajar kolej itu turut mahir bermain alat muzik seperti gitar, piano dan biola.

Berlakon dengan Fizz Fairuz

Meskipun bidang lakonan masih terlalu baru baginya, siapa sangka Ziha memiliki bakat itu. Malah, dia baru-baru ini digandingkan dengan Fizz Fairuz dalam telefilem Hantu Mentuaku.

Diarahkan Zulkifli M Osman, dalam telefilem itu Ziha melakonkan watak isteri kepada Fizz yang berusia ling­kungan 30-an.

Mengulas mengenai watak itu, Ziha berkata, pada mulanya dia tidak yakin untuk melakonkan karakter berkenaan memandangkan usianya pun baru mencecah awal 20-an.

"Namun, inilah lakonan namanya dan saya perlu yakin untuk mencuba. Lagi pun, peluang tidak datang selalu dan rugi kalau ditolak.

"Sebagai artis yang baru membina nama dalam industri seni, saya harus berani mencuba meskipun watak itu macam pelik.

"Apapun, saya beruntung dapat bekerjasama dengan Fizz kerana dia seorang pelakon yang tidak kedekut ilmu. Malah, isterinya pelakon Almy Nadia pun banyak membantu.

"Almy yang datang ke lokasi penggambaran hanya sekadar menemani suaminya Fizz, banyak membantu memberi tunjuk ajar kepada saya untuk berlakon dengan baik," katanya.

Menyentuh soal karier nyanyiannya, Ziha berkata, minat menyanyi takkan pudar dan berharap akan dapat lebih banyak peluang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 5:00 AM