PEMAIN UAE meraikan kemenangan mereka.
AFP

Canberra: Emiriah Arab Bersatu (UAE) bangkit daripada ketinggalan sebelum menundukkan pencabar Teluk, Qatar 4-1 ketika mempamerkan keupayaan untuk memenangi Piala Asia dengan kemenangan bergaya, semalam.

Pemain tengah ternama Omar Abdulrahman bertindak cemerlang membantu Ahmed Khalil dan Ali Mabkhout masing-masing menyumbat dua gol selepas Khalfan Ibrahim yang digelar ‘Maradona Qatar’ meletakkan pasukannya di depan.

Sepakan voli Khalfan ternyata satu-satunya saat terbaik Qatar ketika tuan rumah Piala Dunia 2022 itu nyata rapuh di benteng pertahanan dengan penjaga gol Qasem Burhan melakukan dua kesilapan yang tidak sepatutnya.

“Saya pasti mereka boleh bermain dengan baik tapi dalam bola sepak anda tidak dapat menjamin keputusan yang diidamkan dan saya amat gembira dengan persembahan hari ini,” kata jurulatih UAE, Mahdi Ali.

Khalfan membuka tirai jaringan pada minit ke-22 apabila dia mendada bola sebelum melakukan sepakan akrobatik untuk mengatasi penjaga gol Majed Naser.

Namun Ahmed berjaya menyamakan kedudukan selepas 37 minit apabila Omar mencetus panik di benteng lawan dengan dua kali merampas bola dari kaki pertahanan Qatar.

Gol itu menyemarakkan semangat UAE dan mereka mendahului tujuh minit babak kedua berlangsung.

Penjaga gol Qasem bertindak lewat ketika sepakan percuma Ahmed dari penjuru kiri kotak penalti melepasi setiap pemain dan menerjah jaring.

“Gol kedua saya pastinya lebih cantik berbanding gol pertama,” jelas Ahmed, yang dipilih pemain terbaik perlawanan. “Saya melakukan sepakan seperti yang diinginkan.”

Empat minit kemudian, Qasem sekali lagi gagal menangani ‘set-piece’ dan menumbuk bola kepada Ali yang menyepak masuk gol ketiga UAE.

Serangan bertali-arus Qatar menyebabkan mereka sering terperangkap di pertahanan dan Omar sekali lagi berganding dengan Ali yang menyumbat gol kedua peribadinya pada minit ke-89.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 6:42 AM