TIMBUNAN sampah barangan yang musnah akibat banjir dilonggokkan hampir satu kilometer di sepanjang jalan berhampiran Kampung Chat Rimau di Tanah Merah. FOTO Syamsi Suhaimi
TIMBUNAN sampah barangan yang musnah akibat banjir dilonggokkan hampir satu kilometer di sepanjang jalan berhampiran Kampung Chat Rimau di Tanah Merah. FOTO Syamsi Suhaimi
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Kuala Kangsar: Sampah sarap yang dikumpulkan akibat banjir di seluruh negara setakat ini adalah sebanyak 200,000 tan dan dijangka boleh meningkat ke 300,000 hingga 400,000 tan pasca banjir.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kesemua sampah berkenaan dikumpulkan sepanjang proses pembersihan di kawasan yang banjir sudah surut.

"Jumlah sampah berkenaan dijangka meningkat kerana masih ada kawasan yang belum dibersihkan akibat banjir belum surut lagi termasuk di Perak ini.

"Untuk tujuan pengumpulan sampah berkenaan sebanyak tiga pusat pelupusan sampah sementara turut dibuka kerana terdapat pusat pelupusan sedia ada yang ditenggelami banjir," katanya selepas menyertai gotong-royong dan meninjau kawasan yang terjejas banjir di Arena Square di sini, hari ini.

Menurutnya, tiga pusat pelupusan sementara yang dibuka adalah di Temerloh, Pahang dan bagi negeri lain yang terjejas, mereka juga boleh membuka pusat pelupusan sementara jika ada keperluan.

Sementara itu, menurutnya anggaran awal kerosakan membabitkan kemudahan awam dan infrastruktur di semua PBT yang terjejas akibat banjir setakat ini adalah RM100 juta, namun pihaknya menjangka ia mungkin meningkat ke RM200 juta selepas laporan lengkap diterima.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 1:44 PM