ZALMAN (tengah) pada majlis pelancaran, semalam.

Kuala Lumpur: Celcom Axiata Bhd memperkenalkan pelan Internet terbaru bagi pengguna Xpax dengan menawarkan penggunaan Internet, permainan dan panggilan secara percuma.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Zalman Aefendy Zainal Abidin berkata, pelan berkenaan membolehkan pengguna menikmati penjimatan berganda melalui rangkaian Internet dengan liputan meluas di seluruh negara.

“Untuk pelan terbaru ini, pengguna boleh memilih untuk mendapatkan pelan secara harian, mingguan atau bulanan pada harga rendah,” katanya selepas pelancarannya di sini, semalam.

Untuk pek terbaru ini, pelanggan menikmati penggunaan Internet percuma selama 10 minit sebanyak tiga sesi setiap hari, 10 permainan percuma setiap hari dan 10 saat panggilan percuma untuk setiap panggilan.

Pelanggan juga boleh mendapatkan pelan Internet harian pada harga serendah RM2 dengan kapasiti 100 Megabait (MB) yang diberikan 100 MB percuma untuk melayari laman sosial.

Zalman berkata, untuk pelanggan Celcom sedia ada, mereka boleh bertukar kepada pelan Xpax ini pada bila-bila masa tanpa sebarang masalah.

“Bagi pelanggan pelan prabayar lain yang ditawarkan Celcom, mereka boleh bertukar kepada Xpax untuk menikmati tawaran yang disediakan,” katanya.

Pihak Celcom menghantar peringatan kepada pelanggan sekiranya mereka sudah mencapai had maksimum penggunaan data.

“Selepas peringatan dihantar, pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan pelan data harian mengikut penggunaan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 5:03 AM