KUALA LUMPUR: Angin kencang Timur Laut dan laut bergelora kategori kedua di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur dijangka berterusan sehingga Sabtu ini (17 Jan)

Keadaan sama dijangka melanda Tioman, Bunguran, Kuching, Sabah, Sarawak, Labuan, Sulu, Samui dan Reef South. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (kmsj) dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter akan berlaku dalam tempoh itu.

“Sementara itu, angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga di perairan Condore, Reef North, Layang-layang dan Palawan juga dijangka berterusan sehingga Sabtu ini,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 60 kilometer sejam (km/jam) dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk pekerja di pelantar minyak, menangkap ikan serta perkhidmatan feri.

Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sehingga Sabtu ini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 12:35 PM