Susunan Oleh Michelle Gun


Selepas The Prince, pelakon hebat Hollywood Bruce Willis kembali beraksi dalam filem aksi fiksyen sains, Vice yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh dunia pada 22 Januari ini.

Turut bersama Willis menjayakan filem arahan Brian Miller itu adalah Thomas Jane dan Ambyr Childers.

Membawa penonton ke masa depan, Vice menampilkan Willis sebagai usahawan Julian Michaels yang mencipta sebuah pusat peranginan berteknologi tinggi.

Menariknya, pusat peranginan itu memboleh­kan pelanggan memenuhi dunia fantasi mereka bersama penghuni robot yang boleh berfikir, merasa dan kelihatan seperti manusia.

Bagaimanapun, masalah tercetus apabila salah satu robot yang dikenali sebagai Kelly melarikan diri dari pusat peranginan itu untuk membalas dendam terhadap individu bertanggungjawab.

Mengulas pembikinan Vice, Miller berkata, dia bersetuju untuk menghasilkan filem itu selepas tertarik membaca skrip yang dilham­kan Andre Fabrizio dan Jeremy Passmore.

"Jalan cerita yang meng­gambarkan keadaan dunia pada masa depan berpandukan imaginasi penulis amat menarik. Filem ini mengisahkan Julian Michaels menubuhkan pusat peranginan Vice untuk orang kaya.

"Di resort ini, pelanggan bebas melakukan apa saja mengikut imaginasi mereka termasuk membunuh dan melakukan perbuatan jenayah. Ini kerana penghuni resort ini adalah robot yang menyerupai manusia," kata­nya.

Miller yang juga peminat karya fiksyen sains, yakin jalan cerita Vice yang memaparkan isu birokrasi serta perkembangan setiap watak akan menarik penonton.

"Zaman sekarang, masyarakat menggambarkan imaginasi mereka menerusi media sosial sehingga kurang ber­interaksi dengan orang di sekeliling.

"Saya berpendapat, penonton akan merasakan filem ini berkaitan dengan mereka berdasarkan jalan ceritanya," katanya.

Bercerita lanjut mengenai filem itu, Miller berkata, dia dan Childers mengambil masa beberapa hari untuk berbincang mengenai perkemba­ngan watak Kelly di setiap babak.

"Bagi penghuni lain di resort itu, kehidupan seharian mereka adalah seperti biasa. Childers berjaya menghidupkan watak Kelly dengan sempurna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 5:00 AM