Agnieszka bantu Poland menjuarai Piala Hopman.
Agnieszka bantu Poland menjuarai Piala Hopman.
AFP

Sydney: Pemain nombor enam dunia, Agnieszka Radwanska mula terasa bahang gara-gara jadual perlawanan yang ketat dan akibatnya, dia tersingkir pada pusingan pertama Kejohanan Antarabangsa Sydney semalam.

Pemain Sepanyol Garbine Muguruza yang muncul juara Kejohanan Antarabangsa Hobart tahun lalu dan menduduki tangga ke-24 dunia, bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi Agnieszka 3-6, 7-6 (7/4), 6-2.

Ia pertandingan pertama Agnieszka selepas membantu Poland menang Piala Hopman di Perth dan dia kini dibimbing jurulatih baru, Martina Navratilova.

“Letih sedikit, ya, terutamanya apabila hujung permainan mengambil masa yang agak panjang,” kata Agnieszka mengenai kempen Piala Hopman yang baru berakhir hujung minggu lalu.

“Saya turut beraksi dalam acara beregu campuran dan tidak dapat cukup rehat. Saya terpaksa bermain pada pusingan pertama Kejohanan Antarabangsa Sydney. Bagi saya, kekalahan itu bukan sesuatu yang perlu dirisaukan.

“Saya rasa Garbine mempunyai potensi yang cukup bagus dan dia juga bermain hebat. Corak permainan diamalkannya adalah sesuatu yang kita nantikan pada masa depan.”

Juara bertahan, Tsvetana Pironkova memenangi perlawanan ke-13 berturut-turut pada kejohanan itu dan melangkah ke suku akhir.

Tsvetana layak ke kelompok lapan terbaik selepas pemain remaja Amerika Syarikat, Madison Keys terpaksa menarik diri akibat kecederaan bahu kanan.

Madison memenangi set pertama 6-4, tetapi ketinggalan 4-1 pada set kedua sebelum mengambil keputusan untuk menarik diri.

Pada perlawanan lain, pemain Sepanyol, Carla Suarez Navarro mengatasi pilihan keenam dari Russia, Ekaterina Makarova 4-6, 6-1, 6-4 untuk ke suku akhir menentang pemain Republik Czech, Karolina Pliskova selepas pemain itu mengatasi Nicole Gibbs 6-0, 6-0.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 6:57 AM