MESSI (kiri) menandatangani autograf peminat sebaik tiba di Zurich, kelmarin.

Zurich: Lionel Messi menyaksikan musuh utama Cristiano Ronaldo mengatasinya bagi anugerah Ballon d’Or di Zurich awal pagi semalam dan kemudian menyemarakkan semula spekulasi mengenai masa depannya apabila berkata: “Saya tidak tahu di mana saya akan berada tahun depan.”

Bintang Barcelona dan Argentina itu jelas menarik balik komennya sendiri 24 jam sebelum itu apabila menganggap semua khabar angin dia akan meninggalkan Nou Camp untuk ke Chelsea atau Manchester City sebagai satu penipuan.

“Saya sering berkata akan menamatkan karier di Barcelona dan kemudian di Newell’s (kelab kampung halamannya di Argentina),” ujar Messi kepada wartawan selepas ikon Real Madrid dan Portugal, Ronaldo menjulang trofi pemain terbaik dunia buat tahun kedua berturut-turut pada majlis anugerah FIFA.

“Tapi saya tidak tahu di mana saya akan berada tahun depan.

“Seperti Cristiano (Ronaldo) kata sebelum ini, bola sepak boleh berubah dan apa saja boleh berlaku,” jelas azimat Barcelona itu, yang memenangi anugerah Ballon d’Or empat tahun berturut-turut dari 2009.

Selepas persembahan mengagumkan ketika Barcelona menang 3-1 ke atas juara Sepanyol, Atletico Madrid Ahad lalu, Messi berang dengan desas-desus dia mahu meninggalkan kelab itu selepas bertelagah dengan pengurus Barca Luis Enrique serta ahli lembaga pengarah.

“Saya tidak pernah meminta apa-apa bagi memastikan kekal kerana saya tidak pernah berniat untuk meninggalkan kelab ini,” katanya.

Hubungan Messi dengan Enrique menjadi tumpuan selepas penyerang itu berada di bangku pemain simpanan ketika kalah 0-1 kepada Real Sociedad dua minggu lalu. Khabar angin itu memuncak apabila Messi terlepas sesi latihan pertama selepas perlawanan itu, mengadu sakit perut. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 7:15 AM